Waspada, pegawai MBPP wajib tunjuk kad kuasa jalankan pemeriksaan

Admin
ONG Ah Teong (tengah) memerhatikan dua pegawai
daripada Bahagian Pelesenan MBPP menunjukkan
contoh kad kuasa PBT berkaitan pada majlis sidang
media di sini baru-baru ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 GEORGE TOWN – Orang ramai diminta berwaspada supaya tidak terpedaya dengan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dikesan ‘meminta’ wang daripada beberapa pihak di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong berkata, dalam kejadian 12 April lalu, kira-kira jam 11.30 pagi, pemilik kedai kopi dan kedai runcit di Lorong Delima, Island Glades di sini didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai dari Bahagian Pelesenan dan ingin membuat pemeriksaan.

“‘Pegawai’ tersebut kemudiannya dipercayai telah meminta sejumlah wang daripada pemilik berkaitan berhubung beberapa kesalahan yang dikesan oleh beliau.

“Pihak MBPP berjaya menghidu kes tersebut selepas salah seorang daripada mangsa tampil membuat laporan kepada Majlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

“Justeru, kita (MBPP) menyeru kepada pihak orang ramai, terutamanya peniaga agar lebih berhati-hati sekiranya didatangi pihak yang mencurigakan.

“Pegawai MBPP yang menjalankan tugas di premis pengguna diwajib untuk menunjukkan kad kuasa terlebih dahulu dan setiap penguatkuasaan atau pemeriksaan perlu dijalankan sekurang-kurangnya oleh dua pegawai pada satusatu masa,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli-ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Ahmad Azrizal Tahir, Syerleena Abd. Rashid dan Gan Ay Ling.

Dalam perkembangan lain, Soon Siang memberitahu, pihaknya juga berjaya mengesan taktik seorang kakitangan MBPP yang didakwa meminta wang sogokan daripada beberapa pemilik rumah/bangunan yang sedang diubah suai (renovation) atau tidak mempunyai kebenaran merancang.

“Kejadian ini dikesan berlaku pada awal tahun ini.

“Dia dipercayai akan meninggalkan sekeping kertas putih tulisan tangan kepada pemilik rumah/bangunan untuk diajak berbincang dan meminta wang sogokan bagi menyelesaikan kesalahan yang dilakukan,” jelasnya.

Difahamkan, kes-kes tersebut akan dirujuk ke peringkat atasan MBPP sebelum sebarang tindakan tatatertib diambil.

Ekoran itu, MBPP memohon kepada semua pihak sekiranya didatangi individu mencurigakan, sila hubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengen segera untuk memaklumkan hal tersebut.

Aduan boleh disalurkan kepada Bahagian Pelesenan MBPP di talian 04 – 263 8818 (waktu pejabat) atau hotline 04 – 263 7637 (24 jam).