YDP harap pertandingan kitar semula sekolah capai dwi sasaran kitar semul

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pentadbirannya mensasarkan 70 peratus kadar kitar semula pada tahun 2022, dengan jumlah beratan sampah dihantar ke Pusat Pelupusan Sisa Pulau Burong dikurangkan sehingga 50 peratus.

Justeru, beliau berharap salah satu program tahunan strategik MPSP iaitu Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah mampu mencapai dwi sasaran tersebut.

“Sekolah merupakan salah satu tempat (venue) yang mana amalan kitar semula boleh dipraktikkan secara meluas, saya percaya dalam peribahasa Melayu – ‘melentur buluh biar dari rebungnya’,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kitar Semula Peringkat Sekolah di Auditorium Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini 18 Januari lalu.

Menurut Rozali, pelaksanaan program komuniti tersebut ditaja oleh syarikat Fraser & Neave Holdings Berhad (FNHB) dan Tetra Pak Malaysia Sdn. Bhd..

Tambah beliau, pertandingan pada tahun ini dibuka kepada tiga kategori membabitkan Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Pra-Sekolah (Tadika).

“Untuk makluman semua, di Seberang Perai terdapat 219 buah sekolah iaitu 154 sekolah rendah dan sekolah menengah (65), dan setakat tahun 2017, sebanyak 65 buah sekolah (24 sekolah menengah dan 41 sekolah rendah) terlibat dalam aktiviti ini.

“Saya menyeru dan berharap agar tahun ini akan ada pertambahan daripada segi penyertaan dan juga beratan barangan kitar semula yang dikutip,” serunya.

Mengulas lanjut, Rozali menyatakan bahawa sejumlah 54,090.75 kilogram (kg) beratan barang kitar semula berjaya dikutip dari 24 sekolah menengah dan sekolah rendah (41) sepanjang tahun 2017.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan padu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menjayakan aktiviti tahunan MPSP tersebut.