YDP sasar kadar kitar semula 2017 cecah 44 peratus

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mensasarkan kadar kitar semula bagi tahun ini meningkat 2 peratus mencecah 44 peratus, berbanding 42.6 peratus yang dicapai pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, sasaran itu boleh dicapai jika mengambil kira sambutan berterusan berhubung pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang mula sejak 1 Jun tahun lepas.

“Saya daripada mula lagi sasar 50 peratus ini… Kerajaan Negeri sasar 50 peratus kadar kitar semula pada tahun 2020, tetapi di Seberang Perai pada tahun 2016 sudah mencapai 42.6 peratus.

“Kalau boleh penjanaan sampah pun, saya sasar nak kurangkan 50 peratus sekarang, berbanding 1,100 tan sehari yang direkodkan (kini).

“Kebiasaannya (kadar kitar semula), naik 1 peratus saban tahun, tapi kita (MPSP) cuba mencapai sasaran bersama (iaitu) naik 2 peratus menjadi 44 peratus,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pertandingan Kitar Semula F&N 2017 di sini baru-baru ini.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud serta dua wakil penganjur bersama iaitu, Pengurus Korporat Fraser & Neave (F&N) Holdings Berhad dan Terrynz Tan (Environment Director Malaysia, Singapore
& Philippines Tetrapak Malaysia Sdn. Bhd.).

Kira-kira 675 murid dan guru daripada 175 sekolah meliputi ketiga – tiga daerah Seberang Perai hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Berdasarkan rekod MPSP, Maimunah memberitahu, sejumlah 168,000 tan bahan kitar semula berjaya dikumpul dalam tempoh enam bulan sebelum Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dilaksanakan pada 1 Jun 2016.

“Dalam tempoh enam bulan berikutnya, iaitu mulai Jun hingga 31 Disember 2016, kita (MPSP) kutip 227,000 tan bahan kitar semula, dengan berat kenaikan 59,000 tan atau 35 peratus,” jelasnya.
Maimunah dalam pada itu sekali lagi mengulangi bahawa MPSP mampu menjimatkan belanja tipping fee kira-kira RM4 juta setahun, sekiranya sampah-sarap yang dikumpul dan dihantar ke Pusat Pelupusan Sisa Pulau Burong setiap hari berjaya dikurangkan sebanyak 50 peratus, menjadi 550 tan sahaja.