Zairil naik pangkat Pengarah Eksekutif PI

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Doktor Falsafah (PhD) jurusan Kewangan dan Ekonomi Universiti Cambridge, Dr. Lim Kim Hwa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute (PI) berkuatkuasa 22 Mac lalu di sini.

Lantikan Kim Hwa, 38, yang juga memiliki sijil kelayakan Chartered Account dan pernah dinobat sebagai pelajar terbaik Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Itam adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif badan berkenaan.

Pengumuman lantikan tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selaku Pengerusi PI pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.

Menurut Kim Hwa, beliau mengucapkan terima kasih di atas lantikan tersebut dan menyatakan kesediaan untuk memikul amanah dipertanggungjawabkan sambil mengangkat matlamat PI.

“Saya berhasrat menjadikan PI sebagai salah sebuah institut pemikir terbaik di Malaysia dengan mengetengahkan idea-idea terbaik bagi merealisasikan sebuah impian kepada realiti dalam usaha memajukan negeri ini.

“Malah, saya turut menerima tugasan ini atas rasa tanggungjawab sebagai anak jati Pulau Pinang dan tidak akan berkata ‘tidak’ kepada tawaran menarik dikemukakan kepada diri saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zairil ketika ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada PI dan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh dua tahun perkhidmatannya sebagai CEO.

“Saya (sebagai Pengarah Eksekutif) akan terus memfokuskan beberapa perkara dasar berkaitan isu nasional dan negeri.

“Malah, kajian dasar mengenai perumahan, pengangkutan, pendidikan, ekonomi, kesedaran awam serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diteruskan bagi memberi gambaran sebenar kepada penduduk negeri khususnya.

“Saya akan memikul tugasan ini dalam memastikan PI terus utuh untuk mencapai matlamat dalam membantu Kerajaan Negeri dan khususnya rakyat negeri Pulau Pinang sendiri,” tambah beliau.