Zuraida gembira 37 tahun masalah tekanan air rendah rumah pangsa Blok 74 ditangani Kerajaan Pakatan

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK – Sejak 1980, isu tekanan air terlalu rendah merupakan antara cabaran utama bagi semua penduduk yang menghuni 30 unit kediaman pangsa kos rendah lima tingkat di Blok 74 Jalan Tengah dekat Bandar Bayan Baru di sini.

Bagaimanapun, ZURAIDA ABDUL RAHIM, 61, yang bermastautin di sini ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana masalah malar segar itu telahpun ditangani oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

“37 tahun lalu, semasa makcik dan pakcik tinggal di sini, anak sulung masih belum berumur setahun lagi.

“Tekanan air rendah sepanjang masa tidak kira pada awal pagi waktu sebelum ke tempat kerja atau tengah hari atau petang sampai ke tengah malam.

“Selepas 37 tahun tinggal di sini langsung tidak dibaik pulih seperti tangki air dan sebagainya, sudah dibaik pulih sekarang,” katanya yang ditemui dalam Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-kerja Pengecatan Semula dan Pembaikan Kritikal Blok 74 Jalan Tengah di sini baru-baru ini.

Zuraida dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Timbalan Ketua Menteri I kerana membiayai kos projek pengindahan dan reka bentuk landskap kediaman di kawasan flat berkenaan.

Pengerusi Badan Pengurusan (MC) Persatuan Penduduk Blok 74 Jalan Tengah, Thomas Devas pula merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana membiayai 80 peratus kos projek tersebut.

“PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) telah menanggung 80 peratus kos penyelenggaran dan cat semula bangunan rumah pangsa Blok 74 ini.

“Rakyat semakin bijak, dan akan menyokong Kerajaan yang membuktikan keprihatinan serta berjiwa rakyat,” jelasnya.

Ketika berucap, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini membiayai 80 peratus kos projek tersebut sebenarnya berdasarkan teori ekonomi 80:20 ‘Prinsip Pareto’.

“Prinsip Pareto ini bukan sahaja membuktikan sebuah Kerajaan Negeri melalui PDC mengambil tanggungjawab membiayai 80 peratus kos projek, malah penduduk juga akan memulihara kemudahan serta keindahan di kawasan berkaitan kerana mereka juga menanggung baki 20 peratus kos projek berkaitan.

“Inilah projek pengecatan ke- 14 yang telah disiapkan oleh PDC sehingga Mac ini…kerja-kerja penyelenggaraan seakan-akan telah menjadikan bangunan ini rumah pangsa baru,” ujarnya.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut berucap pada majlis itu, selain Mohd. Rashid dan Thomas.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Difahamkan, kos keseluruhan projek pengecatan dan kerja-kerja penyelenggaraan kritikal seperti pembaikan bumbung, tangki air, penggantian surface water pipe serta waterproofing menelan belanja sejumlah RM93,310.

Namun, Guan Eng memberitahu, projek pengecatan sahaja menelan belanja RM40,500, iaitu 80 peratus atau RM32,400 dibiayai oleh PDC dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan baki 20 peratus lagi (RM4,050) ditanggung oleh MC masing-masing.

Nisbah tanggungan bagi kerja-kerja penyelenggaran sahaja adalah 80:10:10, iaitu 80 peratus membabitkan Kerajaan Negeri, manakala baki 10 peratus lagi masing-masing ditangggung Kerajaan Negeri dan MC.