GEORGE TOWN – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) digesa bertindak tegas dengan menyemak semula kadar caj penyelenggaraan kediaman berstrata yang didakwa melampau sehingga membebankan pemilik yang sentiasa menjelaskan bayaran.
Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng, yang menyifatkan tindakan sesetengah Perbadanan Pengurusan (MC) menaikkan caj bagi menampung tunggakan serta hutang lapuk pemilik lain sebagai amalan tidak wajar dan tidak adil.
Menurut beliau, tindakan berkenaan menyebabkan pemilik yang sentiasa mematuhi peraturan dan membuat bayaran tepat pada waktunya seolah-olah ‘didenda’ atas kegagalan pihak lain.
Di samping itu, beliau mempersoalkan sama ada MBPP dan MBSP menyedari terdapat bangunan perumahan kos sederhana rendah (LMC) atau Rumah MutiaraKu Jenis B1 yang mengenakan caj penyelenggaraan bulanan sehingga RM285, termasuk caruman kumpulan wang penjelas (sinking fund).
Kadar tersebut, menurutnya, apabila ditambah dengan bayaran balik pinjaman bank, menyebabkan komitmen bulanan untuk memiliki kediaman berkenaan menghampiri RM1,000.
Perkara itu ditegaskan beliau ketika membahaskan Belanjawan 2027 Pulau Pinang pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, pada 2 November 2026.
Selain itu, Yuee Harng menambah bahawa peranan COB amat penting bagi memastikan setiap MC dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) ditadbir dengan cekap serta telus, memandangkan sebahagian besar ahli jawatankuasa pengurusan terdiri daripada penduduk yang mungkin tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran dalam pengurusan kewangan dan penyelenggaraan bangunan.
Justeru, beliau menggesa pihak MC dan JMB memanfaatkan kerangka perundangan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) untuk menguatkuasakan kutipan tunggakan, dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menaikkan caj kepada semua pemilik.
Antara langkah penguatkuasaan yang boleh diambil, katanya, adalah mendapatkan waran penahanan (warrant of attachment) daripada COB bagi membolehkan harta alih milik pemilik yang ingkar membayar tunggakan disita dan dilelong mengikut peruntukan undang-undang.
Bagi menangani isu ini secara menyeluruh, beliau mencadangkan supaya COB bertindak lebih proaktif dengan menyemak kewajaran kenaikan caj, meneliti rekod kewangan MC serta mengeluarkan pekeliling khas berhubung amalan pengurusan tunggakan yang betul demi melindungi hak pemilik rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING