CEO ZPP, Rektor KITAB terima anugerah bergelar Dato’

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali dan Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, Profesor Dr. Mohamad Abdul Hamid merupakan antara individu yang menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Kedua-dua individu berkenaan masing-masing menerima penganugerahan dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut mengiringi istiadat penganugerahan ialah isteri TYT, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor.

Bertempat di Dewan Sri Pinang, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta barisan Exco merupakan antara tetamu kehormat yang turut menyertai acara istiadat penganugerahan tersebut.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Amran menyifatkan penganugerahan yang diterima adalah sebagai pengiktirafan kepada usaha ZPP dalam membangunkan ummah khususnya umat Islam di negeri Pulau Pinang.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan TYT khasnya kerana telah menganugerahkan pingat DSPN kepada saya.

“Ini sebenarnya satu pengiktirafan dan penghargaan oleh Kerajaan Negeri terhadap usaha-usaha zakat di Pulau Pinang untuk membangunkan ummah.

“Dan bagi pihak ZPP, sudah pasti saya sangat menghargai anugerah ini dan ia sekali gus menjadi penyuntik semangat kami untuk meneruskan kerja-kerja serta amanah yang diberikan supaya ummah ini dapat diuruskan melalui khazanah zakat yang disumbangkan oleh masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyifatkan penganugerahan yang diterima sebagai pemangkin untuk KITAB tampil lebih cemerlang bagi meningkatkan imej institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Selaku Rektor KITAB, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TYT atas pengurniaan darjah kebesaran DSPN kepada saya.

“Dengan penganugerahan ini, kita akan bergerak lebih cemerlang lagi bagi meningkatkan imej institusi pengajian tinggi Islam yang merupakan milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan seluruh ummah di negeri ini,” ujarnya.

Terdahulu, Istiadat penganugerahan yang memasuki hari ketiga semalam menyaksikan tiga daripada 368 individu menerima penganugerahan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri manakala empat lagi menerima penganugerahan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Dalam istiadat yang sama, seramai 30 individu menerima penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Selain itu, 28 individu menerima penganugerahan Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (3); Pingat Kelakuan Terpuji (55); Pingat Jasa Kebaktian (89); Pingat Jasa Masyarakat (150) dan Pingat Bakti Setia (5).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI