Duit Raya RM500 – Kerajaan Persekutuan ikut jejak langkah Pulau Pinang

KETUA Menteri sambil ditemani barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menyerahkan replika cek kepada Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ar. Patahiyah Ismail (kanan sekali) pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Inisiatif awal Kerajaan Negeri untuk menyalurkan Pemberian Bantuan Khas Kewangan atau ’duit raya’ kepada Pegawai Perkhidmatan Awam negeri telah berjaya memperoleh perhatian Kerajaan Persekutuan apabila langkah tersebut turut dimplementasikan pihak berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, walaupun pengumuman yang dibuat selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 18 Ogos 2010 hanya membabitkan RM400 Bantuan Khas Kewangan kepada kakitangan Kerajaan Negeri, namun tindakan awal Kerajaan negeri Pulau Pinang ini telah berjaya memperoleh perhatian Kerajaan Persekutuan yang kemudian mengikut jejak langkah dengan mengumumkan duit raya RM500. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menaikkan amaun Bantuan Kewangan tersebut selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM500.

Sebagai galakan ke hala tuju ini, saya ingin mengumumkan bahawa Pemberian Bantuan Khas Kewangan ataupun “duit raya” sebanyak RM500 kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Pentadbiran Negeri Pulau Pinang dan buat kali pertamanya RM250 untuk guru KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain).

Ini adalah satu penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pegawai dan anggota pentadbiran negeri terhadap perkhidmatan masing-masing yang melibatkan 20 jabatan negeri,’’ katanya pada majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam di sini baru-baru ini.

 Menurut Guan Eng, bantuan Khas tersebut turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Perbadanan Bekalan Air (PBA); Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

 ”Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 ini melibatkan sejumlah 3,700 pegawai/kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.85 juta. Pemberian kepada 1,396 guru KAFA sebanyak RM 250 akan melibatkan RM 349,000.  Sekiranya kita mengambilkira semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan agensi negeri, ianya melibatkan RM5.20 juta,’’ jelasnya.

Beliau menambah, seringkali sektor swasta menjadi pemimpin dalam menjana transformasi. Kalau Pulau Pinang ingin memimpin semula, maka kita dalam perkhidmatan awam negeri mesti memiliki sikap dan pegawai 3ABCD iaitu :

1.   Mutu perkhidmatan kepada rakyat 3A yang Available, Accessible dan Affordable;

2.   Pegawai yang 3B Bijak, Berani dan Benar;

3.   Mengatasi masalah 3C Crime, Congestion of traffic dan Cleanliness;

4.   Bersedia untuk menjalankan kerja yang bersifat 3D Dirty, Difficult and Dangerous.

Mahu tak mahu, suka tak suka, kita juga mesti menjauhi diri daripada tabiat buruk “Little Napoleon” yang merugikan rakyat. Kerajaan negeri telah mendedahkan muka dan wajah seorang “Little Napoleon” di Pulau Pinang yang angkuh, menyalahgunakan kuasa tanpa merujuk kepada undang-undang dan tidak menghormati prinsip demokrasi.

Perlu diingati bahawa urustadbir CAT, yang telahpun dipuji oleh badan antarabangsa anti-rasuah terunggul Transparency International, mestilah mendukung demokrasi, integriti, moraliti awam dan kerajaan rakyat selain memupuk perpaduan rakyat Pulau Pinang yang tinggal bersama dalan suasana penuh harmoni dan saling hormat-menghormati. Sekiranya Pulau Pinang berjaya mencapai taraf antarabangsa, maka imbuhan ahli perkhidmatan awam pun mestilah capai taraf antarabangsa,’’ tegas Guan Eng.