Exco akan bentang cadangan kenaikan elaun atlet yang tidak pernah dikaji sejak tahun 2000

Admin
SOON Lip Chee (kiri sekali) menenangkan Abdul Rahman Abdul Aziz (tengah sekali) dalam satu majlis ringkas penyerahan pampasan insurans di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Demi mempertingkatkan kebajikan atlet-atlet negeri Pulau Pinang, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee akan membentangkan kertas cadangan kenaikan elaun atlet dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, Rabu ini.

Lip Chee pada sidang media di sini pagi ini berkata, elaun RM100 bagi atlet biasa dan atlet elit (RM600) tidak pernah dikaji sejak tahun 2000 lagi.

Saya percaya ramai atlet kita ‘miskin’, kita nak mereka berlatih maka kena tingkatkan elaun.

Baru-baru ini juga, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak swasta untuk tawarkan kerja kepada mereka (selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, SPM), supaya mereka dapat teruskan kerjaya sebagai atlet.

Namun kena faham… ada atlet yang masih bersekolah, untuk menyuruh mereka buat kerja separuh masa adalah tidak masuk akal, jadi saya fikir elaun kepada para atlet perlu dinaikkan,” ujarnya.

Pada sidang media yang sama, Lip Chee sebelum itu memberikan pampasan Skim Kebajikan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) kepada atlet muaythai, arwah Izzarul Azimullah Abdul Rahman.

Pampasan insurans sebanyak RM50,000 diserahkan kepada ayah arwah, Abdul Rahman Abdul Aziz ,52 sambil ditemani ibunya, Jusnita Sahat, 43.

Lip Chee turut menzahirkan rasa sedih dengan kejadian kemalangan motosikal yang menimpa Izzarul pada petang 24 Jun 2018 di Jalan Baru, Batu Kawan.

Saya difahamkan arwah adalah prospek pingat bagi Pulau Pinang, namun sayangnya beliau tidak dapat bertanding dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Perak pada September lalu.

Malah pada tahun 2018, arwah telah menang pingat di Kejohanan Muaythai Tertutup Antara Kelab dan Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Kejohanan Fighting Challenge di Permatang Pauh pada April lalu.

Arwah juga memenangi pelbagai kejohanan di peringkat sekolah, kebangsaan dan terbuka sepanjang tahun 2017,” maklum Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hadir sama, Pengarah MSNPP, Frederick Tan Teck An; Timbalan Presiden Persatuan Muaythai Pulau Pinang, Kenny Ng dan Setiausaha Kehormat Persatuan Muaythai Pulau Pinang, Eric Cheah.

Abdul Rahman ketika ditemui berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MSNPP atas pampasan tersebut.

Sambil menyifatkan Izzarul seorang anak yang taat dan berbudi pekerti, Abdul Rahman memberitahu minat arwah terhadap sukan tersebut sememangnya tidak dapat dibendung lagi.

Saya lihat potensi dia (Izzarul) sejak umur 15 tahun lagi, jika tidak masakan saya akan benarkan dia masuk (muaythai) kalau sekadar nak jadi ‘punching bag‘.

Beliau pun sanggup tinggalkan keluarga demi minat yang sangat mendapat dalam sukan Muaythai ini,” ujarnya dalam perasaan hiba.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gmbar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS