Imbasan 2010 – Pelancongan

Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan – Penyumbang Kedua Terbesar

SEKTOR pelancongan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang.Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Pulau Pinang menunjukkan peningkatanpada tahun 2009 seramai 2.97 juta orang berbanding 2.81 juta pelancong bagi tahun 2008. Bagi tempoh enam bulan pertama 2010, kenaikan adalah lebih ketara iaitu sebanyak 40% peningkatan daripada 405,932 berbanding 244,146 untuk tempoh yang sama tahun lepas. Berdasarkan data yang diperolehi daripada Malaysia Association of Hotels, jumlah pelancong yang menginap di hotel-hotel di Pulau Pinang pada tahun 2009 ialah seramai 822,887  orang dan mereka telah membelanjakan sejumlah RM307.52 juta untuk tujuan penginapan.

Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri telah mensasarkan Pulau Pinang sebagai sebuah hab pelancongan bertaraf antarabangsa dengan sasaran pelancong seramai 6 juta orang pada tahun 2010. Malah, sasaran pendapatan juga meningkat daripada RM5.31 bilion pada 2000 kepada RM10.8 bilion pada tahun 2010.

Penglibatan Kerajaan Negeri secara langsung dan penyertaan anak syarikat Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu ‘Penang Global TourismSdn. Bhd., sebagai wakil Kerajaan Negeri ke pameran dan ekspo antarabangsa telah berupaya memantapkan lagi pembangunan pelancongan terutamanya dalam menarik kemasukan pelancong ke negeri ini.

Selain itu, pengiktirafan bandar George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008 merupakan satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada Pulau Pinang yang bukan hanya kaya dengan dengan budaya tetapi juga keunikan etnik kaum di sini. Selain dapat menjana pertumbuhan ekonomi, pengikhtirafan tersebut juga dapat memberi kesedaran kepada generasi baru tentang nilai estetika yang dimiliki oleh sesebuah negeri itu.

Sambutan George Town Festival yang dianjurkan pada bulan Julai tahun ini dengan begitu berjaya yang memaparkan kepelbagaian kebudayaan dan warisan negeri ini dan akan diteruskan dalam tahun 2011. Demi mempromosi warisan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2.65 juta untuk tahun 2011.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan kempen 12 produk mesti beli, 12 tempat pelancongan menarik yang mesti dilawati di Pulau Pinang dan 12 makanan terbaik yang boleh didapati di Pulau Pinang sebagai langkah dan usaha untuk terus mempromosi dan menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Pinang. Pada masa sama, sepanjang tahun ini, lebih daripada 50 program dan aktiviti-aktiviti pelancongan termasuk bertaraf antarabangsa telah dilancarkan dari semasa ke semasa dalam usaha menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun luar negara.

Penubuhan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang yang secara khusus berperanan dalam membangunkan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancong bertaraf antarabangsa dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong. Peruntukan pembangunan sebanyak RM8.6 juta disediakan pada tahun 2011 bagi membiayai kerja-kerja yang perlu dijalankan bagi membangun dan menaik taraf kemudahan-kemudahan di Bukit Bendera untuk menarik lebih ramai pelancong. Produk-produk baru pelancongan juga sedang diwujudkan antaranya ialah menaik taraf kawasan gerai makan sebagai ‘Penang Flag Hill Centre’, pembinaan sebuah Titian Silara (Canopy Walk) yang baru, pembangunan semula Hotel Crag serta mewujudkan pakej untuk laluan-laluan denai atau ‘trail’s bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi. Di samping itu, projek menaik taraf Keretapi Bukit Bendera sebanyak RM63 juta dijangka siap pada Januari 2011.

Peruntukan sejumlah RM5.0 juta, yang merupakan tambahan RM2.0 juta daripada RM3.0 juta pada tahun 2010, akan diperuntukkan untuk tahun 2011 bagi merancak dan memperluaskan akitiviti-aktiviti promosi dan galakan pelancongan, bagi meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi global pelancongan.