Insentif Galakan buat Azlia Syafinaz ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Insentif Galakan buat Azlia Syafinaz ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020

GEORGE TOWN – Atlet berbasikal paralimpik kelahiran Pulau Pinang, Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais, yang akan ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerima Insentif Galakan RM10,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Gimik penyampaian cek disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee melalui telesidang yang diadakan di sini petang tadi.

Kon Yeow ketika berucap menyatakan bahawa insentif yang disumbangkan diharap bakal mendorong Azlia Syafinaz untuk meraih kejayaan dalam kejohanan berprestij tersebut.

“Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam memastikan pembangunan sukan negeri ini berada di landasan yang terbaik, Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Sukan sekali lagi telah bersetuju dan memutuskan untuk menyampaikan Insentif Galakan berjumlah RM10,000.00 kepada Azlia Syafinaz sebagai suntikan semangat menjelang temasya kejohanan dunia ini.

“Kita baru sahaja menyaksikan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebagai penonton, kita dapat menghayati semangat juang para atlet negara Malaysia dan Pulau Pinang.

“Saya berharap semangat yang disemarakkan semasa Sukan Olimpik Tokyo lalu, turut sama ditunjukkan dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Insentif Galakan Secara Dalam Talian Kepada Atlet Paralimpik Berbasikal Negeri Pulau Pinang Yang Layak Mewakili Negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Temasya terbesar bagi atlet paralimpik tersebut dijadualkan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Insentif khas berkaitan sama seperti yang telah disumbangkan sebelum ini kepada dua atlet Pulau Pinang iaitu Chan Peng Soon dari sukan badminton serta Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik artistik) yang telah mewakili kontingen Malaysia dalam Sukan Olimpik Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai hingga 8 Ogos lalu.

“Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada Azlia Syafinaz dan kesemua atlet paralimpik negara yang akan berjuang dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Saya doakan agar usaha anda semua akan dinikmati dengan hasil yang baik di kejohanan tersebut nanti. Lihatlah cabaran ini secara positif agar dapat memperagakan aksi terbaik, sekaligus membawa pulang pingat buat negeri serta negara,” serunya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Dalam pada itu, Lip Chee memberitahu, Azlia Syafinaz telah membuktikan kemampuan serta potensinya apabila beliau mewakili negara ke Sukan Para Asia pada tahun 2018, dan berjaya memungut tiga pingat emas berserta pingat perak (1) bagi acara lumba basikal trek dan lebuh raya.

“Beliau juga telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam Kejohanan Asian Track Cycling dengan pungutan tiga pingat emas pada tahun 2018, tiga pingat emas (2019) dan dua pingat gangsa (2020).

“Ini sekaligus membuktikan kegigihan beliau yang cukup gemilang serta prestasi yang amat konsisten,” ulasnya.


Azlia Syafinaz pada sesi sama sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas Insentif Galakan tersebut.

Ditanya mengenai latihan, Azlia Syafinaz mengakui bahawa beliau berdepan kesukaran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana telah menghadkan jadual  latihan.

“Saya dijadualkan beraksi pada 25 hingga 28 Ogos ini, sekarang menjalani latihan fasa akhir di Nilai, Negeri Sembilan, persiapan fizikal serta mental berada pada tahap terbaik,” jelas gadis yang mempunyai kekurangan daripada segi penglihatan berkenaan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD