Jalan Jiran 1 dinamakan semula dengan nama lagenda bola sepak negara

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk menamakan semula Jalan Jiran 1 di Butterworth kepada Jalan M. Kuppan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata Mesyuarat Majlis Kerajaan (Exco) telah meluluskan cadangan penukaran nama jalan tersebut yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees.

“Jalan Jiran 1 merupakan jalan baru dan penukaran nama ini dibuat sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan lagenda bola sepak itu dalam arena bola sepak tanah air,” katanya dalam sidang media dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Zairil berkata, Datuk M. Kuppan yang merupakan pemain dan jurulatih telah menyumbangkan banyak jasa dalam arena bola sepak negara dan negeri Pulau Pinang khususnya.

Jalan M. Kuppan di Butterworth berdekatan dengan projek perumahan  Pangsapuri Jiran Residensi.

“Kuppan terkenal dengan jolokan ‘Jetboots’ atau Harimau Bintang Pulau Pinang sebagai pemain dan jurulatih yang paling disenangi.

“Beliau diingati sebagai salah seorang pemain pasukan kebangsaan yang membantu Malaysia memenangi pingat emas dalam Sukan SEAP pada tahun 1961.

Jalan Jiran 1 kini dinamakan semula kepada nama M. Kuppan.

“Selain itu, beliau juga pernah membantu pasukan Pulau Pinang memenangi Piala HMS Malaya pada 1958 dan juga memenangi Kejohanan Pesta Bola Merdeka ketika menyarung jersi skuad Kebangsaan,” katanya lagi.

Zairil berkata, Kuppan telah mewakili negara selama lapan tahun iaitu dari 1958 sehingga 1965.

“Beliau juga telah bermain untuk Pulau Pinang selama 10 musim termasuk dilantik sebagai kapten pasukan mulai tahun 1962 dan bersara pada tahun 1967,” ujarnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Dalam pada itu, Satees menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana melulukan cadangan beliau agar nama Jalan Jiran 1 kepada nama M. Kuppan.

“Tambahan pula, beliau selalu menjalani latihan di padang berdekatan dengan jalan tersebut,” katanya.

Difahamkan, M. Kuppan yang dilahirkan pada 14 Oktober 1936 dan menetap di Butterworth merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

Beliau memulakan kerjaya sebagai kerani selama 31 tahun di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang sejak tahun 1958.

Pada tahun 2005, Kuppan dikurniakan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Pahang dan pingat Darjah Setia pangkuan Negeri (DSPN) daripada Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang pada tahun 2013.

Beliau meninggal dunia pada 30 Disember 2021 di usia 85 tahun dan meninggalkan tiga orang cahaya mata.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD