Koperasi perlu mainkan peranan lebih besar

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap supaya koperasi di negeri ini dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam menjana pendapatan kepada ahli dan sekligus menambah kekuatan ekonomi Pulau Pinang.

Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, gerakan koperasi di Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang positif dari tahun ke tahun. Ini jelas terbukti iaitu dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, bilangan koperasi telah meningkat secara purata 9.4% setahun, keanggotaan 4.7%, modal syer 8.2%, aset 20.8% dan perolehan 17% setahun.

Dari segi perangkaan pula, pada tahun 2009, terdapat 7,215 koperasi yang berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan seramai 6.78 juta orang, modal syer berjumlah RM8.97 billion dan aset bernilai RM65 billion. Melalui sumber dan kekuatan kewangan ini, koperasi telah dapat menjana perolehan berjumlah RM8.92 billion bagi tahun 2009. Di Pulau Pinang pula, sebanyak 459 buah koperasi telah didaftarkan pada tahun yang sama dengan jumlah aset sebanyak RM1.04 billion. Ini menunjukkan Pulau Pinang menyumbangkan 6.36 peratus daripada jumlah pendaftaran koperasi berbanding Malaysia.

Senario ini memperlihatkan bahawa koperasi mempunyai potensi besar untuk berdaya saing pada masa-masa mendatang,’’ katanya ketika merasmikan Kursus Pengurusan Kewangan Untuk Koperasi di sini baru-baru ini.

Kursus sehari yang dianjurkan bersama dengan ANGKASA itu telah berjaya menghimpunkan peserta seramai 50 orang yang terdiri daripada anggota-anggota koperasi di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Mansor turut menyeru koperasi di negeri ini agar membentuk satu pakatan yang strategik dengan pengabungan koperasi dalam bidang-bidang utama.

Pakatan strategik juga dilihat telah menjadi batu loncatan kepada penggabungan dan pengwujudan serta pertumbuhan koperasi menengah yang lebih kukuh dan berjaya. Pada masa sama, koperasi-koperasi JKKK yang baru ditubuhkan di negeri ini juga perlu mewujudkan satu gabungan koperasi yang kukuh bagi memantapkan koperasi-koperasi ini,’’ tegasnya.

Pada masa sama, Mansor juga berharap agar koperasi di Pulau Pinang dapat memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakan usaha bagi menghakis imej di mana koperasi dilihat sebagai satu institusi yang ‘socially strong’ tetapi ‘economically weak’.