Lapan SJKT diberi tumpuan, kemudahan terus ditambah baik

whatsapp image 2026 10 30 at 11.32.05

GEORGE TOWN – Sebanyak lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang dikenal pasti memerlukan kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan kemudahan infrastruktur serta prasarana bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil dalam memastikan pembangunan mampan dan menyeluruh bagi kesemua 28 SJKT di negeri ini.

Menurutnya, lapan sekolah yang dikenal pasti adalah SJKT Mak Mandin, SJKT Permatang Tinggi, SJKT Palaniandy, SJKT Ladang Jawi, SJKT Nibong Tebal, SJKT Ladang Alma, SJKT Subramaniya Barathee dan SJKT Ladang Pyre.

Skop kerja yang dirancang merangkumi menaik taraf padang sekolah di SJKT Mak Mandin, dewan terbuka di SJKT Permatang Tinggi serta kemudahan tandas di SJKT Palaniandy, SJKT Ladang Alma dan SJKT Subramaniya Barathee.

“Selain itu, kerja pendawaian semula sistem elektrik akan dilaksanakan di SJKT Ladang Jawi dan SJKT Nibong Tebal, manakala SJKT Ladang Pyre dikenal pasti bagi kerja menaik taraf kantin sekolah,” katanya.

Beliau menjawab bagi pihak Ketua Menteri ketika sesi soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Sundarajoo yang juga ADUN Perai memberitahu bahawa pelaksanaan kerja-kerja naik taraf tersebut memberi penekanan kepada aspek keselamatan, keselesaan, kebersihan dan keberkesanan penggunaan kemudahan sekolah mengikut keperluan semasa murid, guru serta warga pentadbiran.

Dalam aspek penyelesaian isu pemilikan dan status tanah pula, katanya, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi memastikan kelangsungan operasi serta pembangunan jangka panjang sekolah-sekolah berkenaan.

Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri dengan kerjasama sebuah syarikat pemaju berjaya menyerahkan sebidang tanah seluas empat ekar bagi tujuan pembangunan SJKT Ladang Malakoff di Daerah Seberang Perai Utara.

“Pada tahun ini pula, proses pembinaan bangunan baharu SJKT Rajaji telah dimulakan dengan kerjasama sebuah syarikat pemaju tempatan bagi membolehkan sekolah tersebut dipindahkan ke tapak baharu seluas 2.638 ekar di Daerah Timur Laut,” ujarnya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri turut mengambil tindakan secara berperingkat bagi menangani isu pemilikan dan status tanah melibatkan lima SJKT lain, iaitu SJKT Ladang Transkrian, SJKT Ladang Prye, SJKT Ladang Alma, SJKT Ladang Mayfield dan SJKT Palaniandy.

Katanya, usaha penyelesaian dilaksanakan menerusi penyelarasan antara agensi kerajaan, rundingan bersama pihak berkepentingan serta penelitian mekanisme bersesuaian mengikut kedudukan dan keperluan setiap sekolah.

Menyentuh aspek pendigitalan pendidikan, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyokong usaha sekolah-sekolah Tamil menyediakan kemudahan seperti Makers Lab, Digital Lab dan makmal komputer bagi memperkukuh penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan murid.

Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri turut melaksanakan projek perintis pembekalan sebanyak 130 unit tablet melibatkan kesemua 28 SJKT di Pulau Pinang bagi menggalakkan pengintegrasian teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada murid memanfaatkan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif, inovatif dan bersesuaian dengan perkembangan pendidikan abad ke-21,” katanya.

Sementara itu, berhubung cabaran penurunan enrolmen murid, khususnya di sekolah yang mempunyai bilangan murid rendah, Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) memberi perhatian terhadap usaha memastikan kelangsungan operasi dan pembangunan sekolah berkenaan.

Menurutnya, antara pendekatan yang diberi penekanan ialah penambahbaikan infrastruktur serta penempatan semula sekolah ke lokasi lebih strategik dengan mengambil kira taburan penduduk, aksesibiliti, keperluan komuniti setempat dan potensi pertambahan enrolmen pada masa hadapan.

Sebagai contoh, kerja-kerja pemindahan SJKT Ladang Byram ke lokasi baharu telah selesai dan sekolah berkenaan mula beroperasi sepenuhnya di tapak baharu pada Januari 2026.

“Selain itu, Jawatankuasa Khas SJKT turut mencadangkan pemindahan SJKT Ladang Changkat ke kawasan baharu dan kini sedang mencari serta meneliti tapak tanah yang bersesuaian,” jelasnya lanjut.

Tambah beliau, jawatankuasa berkenaan juga telah mengenal pasti sebidang tanah seluas empat ekar di kawasan DUN Bagan Dalam untuk pembangunan SJKT ke-29 di Pulau Pinang.

Beliau berkata, usaha menangani penurunan enrolmen memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan dengan mengambil kira faktor demografi, perubahan corak penempatan penduduk serta keperluan pendidikan masyarakat setempat.

“Kerajaan Negeri akan terus menyelaras usaha bersama JPNPP dan pihak berkepentingan bagi memastikan kelangsungan institusi pendidikan Tamil di Pulau Pinang terus terpelihara, sekali gus menjamin akses kepada pendidikan berkualiti untuk generasi akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai saluran peruntukan daripada Kerajaan Negeri, Sundarajoo memberitahu bahawa peruntukan akan disalurkan kepada Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) SJKT berkaitan yang mana panggilan tender untuk kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil yang diterajui oleh ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: LAW SUUN TING