Lebih banyak produk pelancongan kawasan Seberang Perai perlu diketengahkan, saran penduduk

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri baru-baru ini melancarkan “Experience Penang Year (EPY) 2020” sebagai inisiatif untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

Menurut Exco Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin, pelancaran inisiatif tersebut dengan hashtag #EPY2020 adalah satu inspirasi sejajar dengan peningkatan permintaan untuk menimba pengalaman ketika melancong.

Justeru, Buletin Mutiara berpeluang mendapatkan pandangan umum untuk memahami harapan mereka terhadap masa depan industri pelancongan di negeri ini khususnya di kawasan Seberang Perai.

Pengusaha perniagaan pakaian, YONG MAHEZAN KAMARUDDIN, 37, berkata daripada segi tarikan pelancong sekarang ini memperlihatkan keadaan yang berbeza antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

Menurutnya, walaupun Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan popular di negara ini, namun kebanyakan produk pelancongan menarik hanya tertumpu di bahagian pulau.

YONG MAHEZAN KAMARUDDIN.

“Di kawasan Seberang Perai yang kita nampak berkembang pesat hanya sektor perindustrian dan perkilangan selain perniagaan makanan.

“Daripada segi pelancongan pula masih jauh ketinggalan berbanding kawasan pulau, malah boleh dikatakan hampir tidak ada sebarang tarikan di sini selain makanan,” ujarnya semasa ditemui sebentar tadi.

V. JEEVA, 64, seorang suri rumah pula menyarankan agar Kerajaan Negeri melalui EPY2020 memfokuskan pembangunan pelancongan di Seberang Perai terutamanya melibatkan pembinaan taman-taman awam dan pusat rekreasi berskala besar sebagai produk pelancongan utama.

V. JEEVA.

“Kalau Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan cadangan ini pastinya akan memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri ini kerana bukan sahaja boleh menarik pelancong dari luar tetapi juga boleh dimanfaatkan oleh penduduk tempatan,” ulasnya.

Sementara itu, bagi jurujual produk kecantikan, ATIKAH ROSLI, 24, berpendapat bahawa Kerajaan Negeri perlu mengetengahkan lebih banyak produk pelancongan terutamanya melibatkan kesenian dan alam semula jadi.

ATIKAH ROSLI.

 

“Pada pendapat saya, Kerajaan Negeri boleh beri tumpuan kepada kawasan ekopelancongan kerana Seberang Perai kaya dengan alam semula jadi.

“Penganjuran festival-festival berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan secara tahunan juga mampu menjadikan Seberang Perai sebagai lokasi pelancongan menarik untuk dilawati khususnya buat pelancong luar negara,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : K. THAARSHENII