Lebuh raya Air Itam ke Gelugor siap 80 peratus

Admin
whatsapp image 2025 06 23 at 11.17.27

AIR ITAM – Projek pembinaan lebuh raya dari Air Itam ke Gelugor (Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Pakej 2) kini telah siap 80 peratus dan memasuki fasa kritikal.

 

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, projek ini memerlukan penutupan kekal persimpangan Lintang Angsana bermula 1 Julai 2025 bagi membolehkan pembinaan jejambat dilakukan, sekali gus memastikan kelancaran pembangunan infrastruktur utama ini.

 

wong hon wai
WONG Hon Wai.

 

“Pengguna jalan raya dari arah Air Itam tidak lagi boleh membelok ke kanan ke Farlim melalui Lintang Angsana, mereka perlu menggunakan laluan alternatif di persimpangan Lintang Angsana dan Jalan Angsana.

 

“Namun, laluan dari Farlim ke Air Itam tidak akan terjejas,” ujarnya dalam satu sidang media dan lawatan rapak di sini semalam.

 

Di samping itu, Hon Wai turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berbincang dengan Rapid Penang untuk menyesuaikan laluan bas awam yang terjejas akibat penutupan jalan ini.

 

img 20250623 wa0012
KERJA-KERJA pembinaan lebuh raya yang kini telah mencapai 80 peratus kemajuan sedang diteruskan.

 

Mengulas lanjut Hon Wai memberitahu, kawasan pasar malam Farlim telah dibuka sementara sebagai tempat letak kereta bagi mengatasi masalah kekurangan parkir di kawasan tersebut.

 

Tambahnya, langkah ini diambil bagi memastikan pengguna jalan raya dan penjaja di kawasan terlibat tidak menghadapi kesulitan sepanjang tempoh pembinaan.

 

“Beberapa langkah keselamatan turut diambil, termasuk pemasangan papan tanda, pengumuman melalui media sosial, serta penempatan pengurus trafik di lokasi strategik untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar.

 

img 20250623 wa0007
KAWALAN keselamatan untuk pergerakan keluar masuk kenderaan.

 

“Projek lebuh raya ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk apabila siap kelak, memendekkan masa perjalanan ke kawasan perindustrian Bayan Lepas dan Butterworth, serta menawarkan akses tanpa tol kepada pengguna.

 

“Kerjasama dan kesabaran semua pihak amat dihargai, apabila siap, lebuh raya ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kesalinghubungan dan kesejahteraan komuniti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

 

leburaya
KERJA pembinaan jejambat Lebuhraya Air Itam ke Tun Dr. Lim Chong Eu sedang giat dilaksanakan.

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: LAW SUUN TING