Mahiri teknik guna AED, bantu selamatkan nyawa

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Orang awam digalakkan untuk mempelajari dan memahiri cara-cara penggunaan difibrilator luaran automatik (AED)

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kemahiran menggunakan AED mampu membantu menyelamatkan nyawa sekiranya terdapat kes-kes serangan jantung di lokasi-lokasi awam.

Mengambil contoh di Singapura pada tahun 2012, Afif memberitahu, pelaksanaan pendidikan dan akses awam bagi unit-unit AED tersebut berjaya meningkatkan survival penduduk yang diserang sakit jantung dari satu hingga 15 peratus.

“Justeru, sebagai permulaan, kita (Kerajaan Negeri) di Pulau Pinang mensasarkan sekurangkurangnya tiga nyawa atau satu peratus (kadar survival) dapat diselamatkan dalam tempoh setahun.

“(Dan) semenjak pertengahan tahun lepas (2016), Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memasang 10 unit AED di tempat-tempat awam seperti di Komtar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Bukit Bendera, Terminal Bas Sungai Nibong dan lain-lain,” ujarnya pada Program Latihan Kecemasan AED dekat Taman Botani di sini baru-baru ini.

Program latihan serupa turut diadakan di Komtar baru-baru ini dengan mensasarkan penjawat awam dan para peniaga.

Afif dalam pada itu turut mengharapkan agar lebih ramai pihak swasta tampil memberi sumbangan peralatan AED atau membiayainya melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk dipasang di kawasan-kawasan berisiko seperti di kompleks sukan dan lokasi-lokasi riadah seluruh Pulau Pinang.