Naik taraf Kolam Renang Awam Seberang Jaya penting untuk operasi tahap optimum

SEBERANG JAYA – Kompleks Kolam Renang Awam Seberang Jaya yang ditutup baru-baru ini sedang melalui proses penaiktarafan agar ia mampu beroperasi pada tahap optimum semula.

 

 

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, kerja-kerja naik taraf tersebut amat penting terutamanya melibatkan kualiti air di kolam tersebut.

 

 

“Memandangkan terdapat banyak kerosakan pada kemudahan kolam renang dan amat membahayakan pengguna, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) telah memutuskan untuk memanggil ‘Request for Proposal’ (RFP) bagi cadangan menaiktaraf, mengurus dan menyelenggara Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya pada 27 Ogos lalu.

 

 

“Antara kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan adalah melibatkan sistem pembentungan dan sistem aliran air hujan, pemasangan sistem saliran air yang baru di tandas, bilik pam, kawasan perimeter dan kafeteria.

 

 

“Kerja-kerja lain termasuklah menaiktaraf sebahagian sistem elektrikal, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pemasangan papan tanda, naik taraf bumbung dan paling utama adalah naik taraf sistem tapisan baru serta pemasangan sistem sukatan bahan kimia secara automatik bagi penyelenggaraan air kolam,” ujar Lip Chee dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

 

Mengulas lanjut, Lip Chee menyatakan kadar bacaan pH di kolam renang tersebut sebelum ini kerap menepati tahap ditetapkan, maka kerja-kerja naik taraf membabitkan penapis dan sistem sukatan kimia perlu dilakukan.

 

 

Difahamkan kerja-kerja naik taraf ini akan mengambil masa selama lapan bulan dengan anggaran kos melebihi RM3juta.

 

 

Sebelum ini, PSDKLPP juga telah menandatangani Perjanjian Sub-Pajakan selama 18 tahun dengan Syarikat D’Swim Academy Sdn. Bhd. pada 22 Mac 2022 untuk menaiktaraf, mengurus dan menyelenggara Kompleks Renang Awam Seberang Jaya.

 

 

Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dalam pada itu turut mengumumkan kadar harga bagi kemasukan ke Kolam Renang Awam, Seberang Jaya adalah kekal seperti sebelum ini.

 

 

“Masih kekal harga lama orang dewasa RM 3.00, kanak-kanak 12 tahun ke bawah (RM 1.50), bukan warganegara (RM 10.00) dan kanak-kanak bukan warganegara (RM 5.00).

 

 

 

“Manakala Orang Kurang Upraya (OKU), warga emas, kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), kakitangan Toray Group, kakitangan PSDKLPP adalah percuma,” katanya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS