Pelancongan lestari, berkualiti dan mampu milik mampu mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan negeri

Admin

PENGERUSI Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K. RAJ KUMAR meramalkan bahawa sektor pelancongan khususnya industri perhotelan akan memacu pertumbuhan memberangsangkan sekiranya perjalanan merentas negeri dibenarkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu industri perhotelan mengalami kesan pukulan kuat daripada perebakan wabak pandemik COVID-19 sejak akhir tahun 2019.

“Proses pemulihan ini akan memakan masa lebih lama daripada yang dijangkakan kerana demografi sasaran utama sektor perhotelan adalah pasaran antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, akan ada sirna baharu sekiranya perjalanan merentas negeri dipertimbangkan dan dibuka semula dalam tempoh terdekat, kita (MAH Pulau Pinang) menjangkakan pertumbuhan sekitar 50 peratus melalui penganjuran majlis dan acara di hotel,” ujarnya.

Ditanya mengenai kebenaran merentas negeri akan diberikan kepada individu yang telah menerima dua suntikan lengkap dos vaksin COVID-19, Raj Kumar dalam responsnya menyambut baik khabar tersebut.

“Ia adalah harapan untuk kita,” ringkas beliau sambil memberitahu bahawa pihak MAH Pulau Pinang juga banyak menerima pertanyaan berhubung tempahan hotel untuk mengadakan sebarang penganjuran majlis ataupun acara.

Manakala bagi Pengarah Urusan The Habitat, ALLEN TAN beliau secara peribadinya berpendapat bahawa sektor pelancongan negeri yang gah suatu masa dulu perlu disesuaikan dengan frasa ‘membina semula’ agar kegemilangannya dapat dikembalikan.

Jelasnya, industri pelancongan lestari dan pelancongan berkualiti lebih sesuai kini berbanding pelancongan besar-besaran atau lebih ke hadapan.

“Kami dalam industri ini, untuk beberapa ketika sekarang perlu melakukan penjenamaan baharu dalam meletakkan Pulau Pinang sebagai pelancongan berkualiti untuk menarik pengunjung berpendapatan tinggi yang lazimnya kumpulan ini akan tinggal lebih lama dan menghabiskan masa untuk menilai sejarah, alam sekitar, budaya dan kekayaan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, bagi bekas Pengurus Perakaunan Air Asia, ROWENA AMIN berpendapat bahawa meskipun pintu antarabangsa masih belum dibuka, namun melalui penawaran pakej pelancongan menarik yang lebih mampu milik buat setiap lapisan masyarakat akan membantu sektor pelancongan negeri.

Jelasnya, pengiklanan dan promosi hebat memainkan peranan untuk menarik pelancong dalam negara.

“Pengiklanan dan promosi ini bukan sahaja melibatkan industri perhotelan tetapi semua pihak termasuk agensi pelancongan dan pengakutan udara serta darat.

“Penawaran pakej yang lebih menarik dan mampu milik perlu diutamakan dengan menawarkan pakej bajet, dengan pakej (bajet) ini sedikit sebanyak dapat menggerakkan Kembali sektor pengangkutan darat dan udara domestik selain sektor perhotelan,” ujarnya sambil mengalu-alukan pemberian insentif kepada pemain industri pelancongan.

Mengulas lanjut, Allen menyatakan bahawa daripada perspektif sudut pandangannya walaupun kini keadaan masih samar-samar dan kebanyakan masyarakat umum masih takut-takut dengan pandemic COVID-19 namun, Pulau Pinang harus bersedia untuk mewujudkan persekitaran yang menarik pengunjung apabila perjalanan antarabangsa dibuka semula.

“Tidak dinafikan, ia memerlukan sedikit masa untuk mengembalikan keyakinan semua pihak agar merasa lebih selamat dan selesa ketia percutian mereka, dan ini menyebabkan pelancong cenderung untuk memilih tempat yang lebih sesuai,” ujarnya sambil memuji inisiatif dan usaha yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri khususnya YB Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif), PETACH, PGT (Penang Global Tourism) dan PCEB (Penang Convention & Exhibition Bureau) yang melobi penerbangan terus ke Pulau Pinang.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF