Peng Soon, Liu Ying diharap lakar kejutan, buru pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo

Admin

GEORGE TOWN – Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon dan pasangannya Goh Liu Ying diharap dapat melakar kejutan dan memburu pingat emas ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula pada pertengahan bulan ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, seramai lapan pemain badminton negara telah berjaya menempah slot sekali gus bakal beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.

“Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada Peng Soon kerana sekali lagi berjaya mewakili negara kali ketiga ke temasya Sukan Olimpik, ini merupakan kejayaan cemerlang dan khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia dan negeri ini terutamanya kerana beliau merupakan anak kelahiran Pulau Pinang.

“Jika dahulu di Sukan Olimpik Rio 2016, pasangan ini berjaya merangkul pingat perak, kali ini kita (rakyat Malaysia) mengharapkan dan berdoa beliau dan pasangan beregunya dapat menyumbangkan pingat emas buat negara.

“Peng Soon merupakan ikon sukan, malah inspirasi kepada peminat badminton terutamanya buat atlet-atlet muda… setiap keinginan haruslah disertai dengan semangat yang jitu, keinginan yang membara dan sanggup berkorban untuk mengecapi kejayaan.

“Walaupun sukar dan mencabar, tapi ini adalah rintangan perjalanan yang perlu dihadapi, tambahan dengan situasi pandemik kini menyebabkan cabaran kesukanan lebih mencabar dan ia harus dilalui dengan semangat juang yang tinggi.

“Namun saya percaya dengan latihan yang mencukupi dan gelaran atlet profesional, beliau dapat menyesuaikan diri dan mengatasi tekanan di sekelilingnya sebaik mungkin,” ujarnya semasa sesi interaksi bersama-sama Peng Soon yang diadakan secara maya pada 3 Julai lalu.

Sesi yang berlangsung kira-kira satu setengah jam tersebut dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) itu turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan iaitu Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam) dan Ong Ah Teong (ADUN Batu Lanchang); Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua dan Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang, Datuk Kah Kau Kiak.

Untuk rekod, Olimpik Rio 2016, skuad badminton negara menjadi sukan paling cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat perak menerusi kejayaan bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei selain beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying.

Difahamkan bahawa seramai 30 atlet negara sah akan membawa cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo yang akan membuka tirainya, 23 Julai ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan berkata, skuad badminton muncul sebagai wakil teramai dengan lapan pemain akan berentap pada temasya terbabit.

Kau Kiak dan Heng Hua turut berucap memberikan kata-kata perangsang kepada anak kelahiran Air Itam berkenaan agar terus mempamerkan aksi cemerlang.

Heng Hua dalam nada seloroh sempat berkongsi suasana gamat perlawanan akhir ketika beregu campuran negara bertarung di Sukan Olimpik Rio 2016 menentang Indonesia.

“Suasana ketika itu gamat sekali dengan sorakan apabila kami (rakyat Pulau Pinang) beramai-ramai menyaksikan perlawanan akhir secara langsung yang diadakan khas dekat Gurney Paragon.

“Kali ini, rakyat Pulau Pinang dan Malaysia tetap akan berdiri teguh untuk memberikan sokongan mantap dan laungan semangat dari kejauhan… jangan sesekali mengalah, percaya diri sendiri, mara dengan semangat yang membara,” ucap beliau.

Sementara itu, Peng Soon pada sesi tersebut memberitahu bahawa cabaran yang digalas kontingen negara dan beliau sendiri secara peribadinya amat berbeza memandangkan dunia masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Jelasnya, meskipun tidak begitu teruja untuk menyertai kejohanan di luar negara kali ini, namun tanggungjawab sebagai seorang atlet harus dipikul dan bersaing hingga ke titisan keringat terakhir untuk membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.

“Sebagai seorang atlet, berhadapan dengan tekanan adalah perkara biasa dan normal, yang penting adalah mempersiapkan diri untuk beraksi di setiap kejohanan.

“Saya kini lebih fokus kepada latihan yang diadakan setiap hari kecuali hari Ahad. Dengan situasi pandemik yang masih tidak menentu kini, adalah lebih selamat kami (atlet) menetap di Akademi Badminton Malaysia (ABM) supaya tidak terdedah dengan dunia luar,” kongsi beliau yang dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 Julai nanti.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD