Pilihanraya PBT: Sebulan untuk SPR sebelum tindakan lanjut – Kon Yeow

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi masa selama sebulan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan sama ada suruhanjaya itu bersedia melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan atau sebaliknya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu akan dirujuk ke mahkamah sekiranya suruhanjaya masih berdalih untuk melaksanakan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 yang baru diwartakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini.

Malah, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan pengisytiharan Mahkamah bahawa enakmen itu bukanlah bertentangan dengan perlembagaan (ultra vires) seperti digambarkan kerajaan pusat selain mengarahkan SPR supaya melaksanakan pilihanraya kecil di kedua-dua kerajaan tempatan berkenaan.

“Kita akan terus berusaha (tunggu jawapan balas SPR) dalam masa sebulan,” kata Kon Yeow dalam satu sidang media bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar, di sini.

Penegasan itu sebagai reaksi pada surat maklum balas SPR bertarikh 14 September lepas kepada Kerajaan Negeri yang memaklumkan bahawa suruhanjaya sedar mengenai enakmen yang diwartakan itu.

Terdahulu, Guan Eng dalam satu surat bertarikh 30 Ogos mendesak SPR melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan demi memenuhi tuntutan enakmen berwajib.

Desakan itu sebagai reaksi pada kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung yang berdalih bahawa enakmen itu kononnya adalah bertentangan dengan perlembagaan atau “ultra vires”.

Dalih Chee Heung lagi, inisiatif Kerajaan Negeri itu adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 15 Akta 171 (Undang-Undang Persekutuan).

Chee Heung berdalih, pendirian kerajaan pusat itu adalah selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

“Jika mana-mana undang-undang Negeri yang tidak diselaras dengan suatu undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri adalah tidak sah setakat tidak selaras itu.

“Tindakan Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang itu tanpa berbincang dengan Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) jelas bertentangan dengan Perkara 95A (6) Perlembagaan Persekutuan,” dalih beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

chow-pbtelection

CHOW Kon Yeow (kanan) bersama-sama Ketua Menteri menunjukkan surat maklum balas daripada SPR pada sidang media di sini baru-baru ini.