ROSE Charities Malaysia raikan golongan memerlukan

Admin

GEORGE TOWN – Bersempena meraikan kehadiran bulan Zulhijjah menandakan berakhirnya Syawal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ROSE Charities Malaysia mengambil kesempatan menganjurkan Majlis Pelancaran 1000 Cheers & Smile serta sumbangan hamper khusus untuk keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) dan gelandangan di negeri Pulau Pinang.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut di Quantum Metal dekat Jalan Residensi ialah isteri kepada Ketua Menteri, Y.A.Bhg. Puan Tan Lean Kee.

TAN Kean Lee berucap semasa majlis pelancaran baru-baru ini.

Semasa berucap, Lean Kee memuji usaha mulia ROSE Charities Malaysia yang prihatin dalam memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan di negeri ini.

“Tahniah diucapkan kepada ahli-ahli NGO serta barisan penaja yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek ini sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Peranan ini bukan sahaja tanggungjawab barisan NGO malahan juga komuniti sekeliling,” ujarnya pada majlis yang diadakan pada 21 Mei 2023.

DARI kiri, Dato’ Lim Khong Soon, Dato’ Lawrence Cheah Seong Phaik & Puan Tan Kean Lee.

Hadir sama, Presiden ROSE Charities Malaysia, Datuk Lawrence Cheah Seong Phaik dan Pengerusi Quantum Metal, Datuk Lim Khong Soon serta barisan-barisan penaja.

Dalam pada itu, Lean Kee yang juga Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) turut menyeru barisan NGO yang lain agar tidak segan untuk lebih tampil ke hadapan dan menghulurkan apa jua bentuk bantuan.

“Seperti yang sedia maklum, NGO dipercayai telah membawa serta memberi impak yang positif bukan sahaja terhadap individu, malahan juga seluruh komuniti.

“Lantaran itu, saya berharap barisan NGO lain terus menerus untuk tampil memberi sumbangan serta berkhidmat kepada komuniti yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan,” tambahnya lagi.

Buletin Mutiara difahamkan, barisan penerima juga termasuk ibu tunggal, persatuan kebajikan kanak-kanak, persatuan penganut agama serta penarik beca (gelandangan).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT