JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee baru-baru ini melancarkan Kempen Pengumpulan Buku dan Majalah iaitu projek amal dalam memupuk minat membaca serta menghargai nilai bahan bacaan di sini.
Lip Chee berkata, kempen tersebut bukan sahaja mampu memupuk tabiat membaca dalam kalangan penduduk setempat, malah juga sebagai platform perkongsian ilmu melalui sumbangan bahan bacaan baru ataupun terpakai.
“Setiap buku mempunyai nilainya dan tidak patut dibuang atau dijual untuk dikitar semula.
“Oleh itu, saya ingin menggalakkan semua penduduk sekitar Jawi dan Nibong Tebal untuk sama-sama menderma bahan-bahan bacaan termasuk buku rujukan, kamus dan buku cerita dari masa ke masa sepanjang tahun,” katanya pada majlis pelancaran berkenaan di sini baru-baru ini.
Turut bekerjasama dalam menjayakan kempen tersebut adalah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye dan Loh Joo Huat, Pusat Sumber Alam Sekitar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Panchor, Pusat Sumber Alam Sekitar Kampung Jawi, Tadika Seri Comel (Nibong Tebal) dan Persatuan Buddist Nibong Tebal.
Melalui kempen itu, orang ramai boleh meninggalkan buku-buku baru atau terpakai di pusat-pusat pengumpulan buku di sekitar Jawi dan Nibong Tebal.Buku-buku itu kemudiannya akan diedarkan untuk kegunaan pusat sumber dan perpustakaan mini sini.
Orang ramai yang ingin menyertai kempen berkaitan sila ke pusat-pusat pengumpulan buku dan majalah seperti berikut:
1. Pusat Khidmat KADUN Jawi (04 – 594 1163)
2. Pusat Sumber Alam Sekitar JKKK Bukit Panchor (Ms. Tan, 012 – 566 8339)
3. Pusat Sumber Alam Sekitar Kampung Jawi (Mr. Ching, 012 – 457 1850)
4. Tadika Seri Comel Nibong Tebal (Ms. Kang, 012 – 472 8125)
*Hari Sabtu, 9 pagi – 11 pagi