BATU KAWAN – STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Showcase 24 anjuran UOW Malaysia KDU Penang University College sedang dijalankan dari 3 hingga 4 Mei bertujuan memperkasa minda dan membentuk masa depan generasi muda
Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo, program ini dibuat untuk mengilhamkan para pelajar untuk memasuki dunia STEM yang menakjubkan dengan sokongan daripada syarikat multinasional.
“Melalui kolaborasi ini, kita telah membuka peluang yang luas untuk pelajar kita dan bukan hanya menerima ilmu secara pasif, tetapi juga merupakan peserta aktif dalam membentuk masa depan.
“Saya harap dengan acara seperti ini, kita mampu untuk memupuk minat para pelajar terhadap STEM dengan lebih mendalam,” ujarnya ketika pembukaan STEM Showcase 24 di UOW Malaysia KDU University di Batu Kawan pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Lembaga Tech Dome Pulau Pinang, Datin S. Bharathi; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inivasi (STI) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Abdullah Daud; Ketua Pegawai Kewangan, Greatech Technology Berhad Lin Lin Koay; Naib Canselor UOW Malaysia KDU University, Prof. Chong Beng Keok; Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Khoo Boo Wooi; Ketua Pegawai Eksekutif Penang STEM, Richard Chung dan rakan strategik yang lain.
Abdullah dalam pada itu menekankan bahawa pentingnya bagi seorang pelajar untuk memilih laluan akademik yang betul untuk diceburi.
“STEM Showcase 24 merupakan satu contoh mekanik yang bagus kerana ia melibatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan badan profesional seperti Institution of Engineering (IEM), Persatuan Teknologi Malaysia (TAM), Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) dan Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET).
“Kepakaran dan bimbingan mereka pastinya akan membuka jalan kepada generasi muda untuk menempuh laluan kerjaya STEM,” kata Abdullah kepada pemberita.
Difahamkan bahawa program ini juga diselaraskan bersama Program Madani Rakyat (PMR) Zon Utara dan merupakan antara acara STEM yang terbesar kawasan di Seberang Perai.
Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti 2,800 bengkel STEM, 32 pengalaman dan penemuan dalam STEM, enam pertandingan STEM termasuk kereta labirin, roket air dan kuiz serta 15 pameran industri.
Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung daripada Pulau Pinang dan Kedah bakal mengunjungi acara ini.
Teks dan Gambar : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY