Sumbangan bakul makanan ringankan beban golongan B40 menjelang Aidilfitri

Admin

BATU MAUNG – Seramai 100 penerima yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung menerima sumbangan bakul makanan sempena perayaan Aidilfitri.

Sumbangan disampaikan oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain sempena Program Raya Cheer 2022 yang berlangsung dekat Dewan Surau Nur Hidayah, Sungai Ara, di sini.

Program tersebut yang memasuki tahun ketiga pada tahun tahun ini dianjurkan oleh Sunway Group bersama-sama Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

DATO’ Abdul Halim Hussain.

Abdul Halim dalam ucapannya berkata bahawa pemberian sumbangan bakul makanan adalah bagi meringan beban golongan memerlukan terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Beberapa komuniti yang terdiri daripada kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) dipilih bagi menerima bantuan bakul makanan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri nanti.

“Sebanyak 100 bakul makanan dan juga 100 kampit beras disumbangkan kepada 50 penerima hari ini manakala baki 50 penerima lagi akan diserahkan pada hujung minggu ini,” jelasnya sambil menambah bahawa sebanyak 500 bubur kanji turut akan diagihkan di sekitar KADUN Batu Maung dan Seri Delima.

SALAH seorang penerima dari komuniti terpilih menerima sumbangan bakul makanan.
PARA penerima turut diberikan bubur kanji untuk dinikmati sewaktu berbuka.

Turut hadir, Pengurus Besar Sunway Property Penang, Fong Choon Fuoi; Pengurus Besar Sunway Hotel Georgetown & Seberang Jaya, K. Prakash; Pengarah Bahagian Kewangan Bersekutu Sunway Carnival Mall, Lee Yan Chong dan Pengarah Kanan Sunway Construction, Mohd. Sofie Hassan.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sunway Group kerana setia memberikan bantuan kepada komuniti di kawasan Batu Maung.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada seluruh pasukan Sunway Group kerana bertungkus-lumus menyusun atur inisiatif ini dengan sebaiknya.

“Di samping itu, tidak lupa juga sekalung penghargaan kepada Yayasan Kebajikan Negara dan Mutiara Food Bank Pulau Pinang serta pasukan sukarelawan yang menyempurnakan majlis sumbangan pada kali ini,” tambahnya lagi.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI