Sumbangan basikal pembakar semangat timba ilmu

PERMATANG PAUH – “Setiap pagi, saya dan adik akan bangun seawal 6.45 pagi untuk berjalan kaki ke sekolah yang terletak sejauh 45 minit dari rumah kami.

Walaupun tahu risikonya, kami tidak kisah untuk berjalan kerana tidak ingin menyusahkan ayah. Lagipun, kami berdua sudah biasa begini sejak dari dulu lagi. Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib kami dan sumbangan dua buah basikal ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk saya dan adik menimba ilmu hingga ke menara gading,’’ kata Nor Hamsah Nordin setelah menerima sumbangan dua buah basikal daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Salleh Man di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, bapa kepada dua beradik yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah, di sini berkata, walaupun sumbangan diberikan dilihat kecil pada mata masyarakat, namun, bagi beliau sekeluarga, ia adalah amat berharga dan saya amat berterima kasih kepada ADUN kawasan Permatang Pasir.