Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
BAYAN BARU – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon baru-baru ini menzahirkan sokongan terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berhubung isu rumah banglonya di Jalan Pinhorn.
Mohd. Rashid berkata, beliau selaku barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberikan sokongan dan bergerak sebagai satu pasukan bagi mengatasi isu-isu yang sengaja dibangkitkan.
“Ini merupakan satu ujian kepada beliau (Ketua Menteri).
“Apapun, kita akan bergerak sebagai satu pasukan untuk mengatasinya. Kita merupakan sebuah Kerajaan Negeri yang memang diharapkan serta kukuh.
“Justeru, kita tak mahu ia hancur kerana isu-isu seperti ini kerana banyak lagi yang kita nak buat dan bangunkan untuk Pulau Pinang,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Projek Titian Saksama Rakyat Negeri Pulau Pinang (PTSR) di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.
Berhubung siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Rashid mempersoalkan kenapa siasatan begitu pantas dijalankan ke atas Ketua Menteri sedangkan siasatan lain tidak ditangani sepantas kes berkaitan.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung apakah pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu tersebut, Mohd. Rashid menyatakan bahawa perkara tersebut diserahkan kepada kebijaksanaan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan iaitu DAP (Parti Tindakan Demokratik) untuk menyelesaikannya.
“Setakat ini, PKR memang tak ada keluarkan apa-apa kenyataan,” respons beliau selaku Naib Pengerusi 1 PKR Negeri.