Tiada nuklear, P. Pinang selamat

Admin

GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang boleh tidur, makan, kerja dan main dengan selamat ekoran pendirian tegas Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan pembinaan loji nuklear di sini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa beliau amat terkilan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji nuklear berdasarkan situasi dihadapi negara Jepun kini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta supaya cadangan pembinaan loji dibatalkan demi keselamatan, kesihatan dan kebaikan rakyat Malaysia.

Negara Jepun mempunyai tahap kawalan yang begitu rapi, namun, bahan radioaktif masih dapat dilepaskan. Inikan pula Malaysia. Rakyat tidak mempunyai keyakinan terhadap jaminan tahap kawalan yang bakal dipraktikkan kelak.

Justeru, jangan main-main dengan keselamatan dan kesihatan rakyat kerana bukan kita (dewasa) sahaja bakal menerima impaknya tetapi juga anak-anak kita termasuk yang berada di dalam kandungan,’’ katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng merayu supaya Kerajaan Persekutuan membatalkan hasrat berkenaan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pelaksanaan sebarang inisiatif ataupun projek berkait dengan radioaktif dijalankan di sini. Sekiranya perlu, kita (Kerajaan Negeri) akan tulis surat kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, sehingga kini, Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang maklumat berhubung pelaksanaannya di negeri ini. Namun, negeri-negeri lain di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) adalah berada pada tahap bahaya,’’ ujar beliau.