3 keluarga mangsa ribut terima bantuan

DATUK KERAMAT – Nasib tiga keluarga yang menjadi mangsa kejadian ribut pada 18 September lalu di Jalan Makloom memperoleh perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) di sini baru-baru ini.

Jagdeep ketika ditemui berkata, ketigatiga keluarga itu menerima bantuan kewangan berdasarkan kerosakan yang dialami selepas dinilai pihak JKM.

“Saya difahamkan, sebuah rumah mengalami kerosakan teruk, manakala dua yang lain kerosakan kecil melibatkan premis perniagaan,” katanya ketika meninjau kawasan terbabit baru-baru ini.

Tambah Jagdeep, pihaknya berterima kasih kepada JKM atas keprihatinan menghulurkan bantuan bencana serta barangan keperluan harian kepada semua mangsa terlibat dalam tempoh yang singkat.

Seorang mangsa, Nasar Mohd. Yasin, 61, menyatakan bahawa hujan lebat dan angin kencang telah menyebabkan pokok di hadapan rumahnya tumbang dan menghempap kediamannya.

Beliau menerima sumbangan tunai bernilai RM500 daripada JKM dan tambahan RM500 daripada Jagdeep selaku ADUN kawasan berkaitan.

Dua mangsa lain, A. Chinnathamby, 49, menerima RM600, manakala A. Manogaran, 57, RM200.