Edisi khas : Kerajaan PR tiada diskriminasi, amalkan kesamarataan jantina

Admin

 

PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi (berselendang, tengah) bersama para peserta Bengkel Motivasi Wanita menunjukkan tanda bagus berhubung penganjuran program tersebut.
PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi (berselendang, tengah) bersama para peserta Bengkel Motivasi Wanita menunjukkan tanda bagus berhubung penganjuran program tersebut.

 

KERAJAAN berjiwa rakyat Negeri Pulau Pinang sememangnya tidak pernah memandang enteng hal ehwal pembangunan golongan hawa serta hal-hal yang berkaitan kekeluargaan dan komuniti setempat. Malah Kerajaan Negeri turut meraikan kesamarataan jantina bagi memberi peluang dan ruang untuk wanita berkecimpung dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan.

Hal ini terbukti apabila Kerajaan Negeri melantik beberapa individu bagi menerajui jawatan tertinggi dalam pentadbiran. Antaranya Datuk Faiza Zulkifli, Penasihat Undang-undang Negeri; Patahiyah Ismail, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Maimunah Md. Sharif, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Rohani Hassan, Pengarah Urusan iNVESTPenang, Loo Lee Lian dan Ooi Geok Ling, Pengurus Besar Penang Global Tourism. Pengiktirafan yang diberikan kepada wanita cukup membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya prihatin dengan perkembangan dan pembangunan wanita di Pulau Pinang.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif dengan menubuhkan dua buah pusat jagaan kanak-kanak (PJKK) di Daerah Timur Laut (TL) dan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) khas bagi keluarga yang bependapatan rendah. Dengan adanya PJKK ini, para ibu khususnya ibu tunggal dapat bekerja tanpa perlu bimbang soal penjagaan anak-anak mereka. Malah kebanyakkan PJKK yang ditubuhkan di Pulau Pinang tidak mengenakan sebarang caj atau yuran yang membebankan ibubapa, terutama yang berpendapatan rendah.

Selain menyediakan PJKK, rumah-rumah kebajikan kanak-kanak turut ditubuhkan bagi membela dan melindungi kanak-kanak yang terbiar ataupun kanak-kanak yang adatang daripada keluarga yang bermasalah. Malah ada di antara rumah-rumah kebajikan ini menyediakan peluang pendidikan dan latihan serta peluang pekerjaan kepada penghuninya bagi membolehkan mereka menguruskan kehidupan mereka di masa hadapan.

PRESIDEN Pertubuhan Wanita Mutiara, Betty Chew (empat dari kiri) dan Ong Kok Fooi (tiga dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersempena Persidangan Gender 2010.
PRESIDEN Pertubuhan Wanita Mutiara, Betty Chew (empat dari kiri) dan Ong Kok Fooi (tiga dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersempena Persidangan Gender 2010.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menubuhkan rumah perlindungan wanita yang berfungsi untuk memberi perlindungan dan khidmat nasihat, nasihat perundangan serta kaunseling kepada penghuninya. Malah, penubuhan Pusat Kesedaran Wanita (Women’s Centre for Change – WCC) dilhat sebagai inisiatif murni Kerajaan Negeri dalam membantu golongan hawa yang mempunyai masalah rumahtangga dan menjadi mangsa jenayah domestik serta mangsa jenayah seksual. Misalnya pengendalian masalah keganasan rumahtangga, perkhidmatan kaunseling secara langsung, khidmat perundangan dan isu berkaitan keganasan atau penindasan wanita. Perkhidmatan yang ditawarkan adalah secara percuma dan telus.

Di samping itu, pelbagai program-program sokongan turut dirangka untuk pembangunan wanita dalam aspek kerjaya dan sosia-ekonomi. Antaranya, Bengkel Kesaksamaan Gender, Kem Wanita Cemerlang, Seminar IQ + EQ: Wanita di Era Baru, Bengkel Peningkatan Imej Diri, Seminar Wanita dan Keluaga dan Bengkel ‘Gender Mainstreaming’ khas bagi penjawat awam di Pulau Pinang.

Penubuhan Good Governance and Gender Equality Society (3Gs) iaitu sebuah persatuan yang menguruskan kesaksamaan jantina serta memperjuangkan dasar-dasar kesaksamaan jantina dalam isu-isu rumahtangga, kerjaya dan sosial dillihat sebagai wajar dan tepat pada waktunya. Hal ini kerana, hasil penubuhan persatuan tersebut, nasib kaum hawa kini lebih terbela dan lebih diberi keutamaan serta diberi perhatian yang munasabah. Malah, MPSP juga turut menubuhkan sebuah Jawatankuasa Gender dan OKU yang bertujuan untuk mengarusperdanakan jantina dalam pentadbiran serta dasar majlis PBT tersebut. Ini merupakan inisiatif terulung di Malaysia yang diambil oleh sebuah kerajaan tempatan.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai Jawatankuasa MMK Wanita, Komuniti & Keluarga dalam meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pelbagai isu yang berkaitan dengan wanita, keluarga dan komuniti setempat. Malah, ia juga merupakan platform perkongsian idea dan perancangan dalam membela nasib wanita dan kanak-kanak di Pulau Pinang.