Exco jangka Pelan Induk Tebatan Banjir siap April 2015

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, penyediaan Pelan Induk Tebatan Banjir bakal dicadangkan adalah melibatkan penyelesaian berstruktur dan bukan struktur bermula Mei lepas dan dijangka siap 30 April tahun depan.

“Kajian ini bakal menyediakan pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dan sistem saliran yang menyeluruh merangkumi aspek kawalan kuantiti serta kualiti, garis panduan kerja-kerja tanah, mengenalpasti kawasan mudah banjir, pelan aras platform mengelakkan banjir kilat dan melaksanakan beberapa projek impak besar di kawasan yang kerap terjadinya banjir.

“Penyelesaian secara struktur adalah melibatkan pembinaan komponen kerja juruteraan seperti rumah pam, pintu air, mendalam dan melebarkan sungai serta sistem saliran sekitar bandar George Town dan kawasan-kawasan terlibat seperti di Sungai Jelutong, saliran Taman Minden Height, naiktaraf sistem saliran Jalan Macalister serta saliran di Jalan Transfer- Jalan Hutton.

“Manakala, penyelesaian bukan struktur pula adalah dengan melantik perunding untuk membuat kajian serta reka bentuk terperinci di kawasan sering mengalami banjir kilat termasuk Bagan Jermal, Taman Lumba Kuda dan Jelutong,” ujarnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Menurut Kon Yeow, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan saling bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menubuhkan skuad pemantau operasi bencana banjir mengikut kawasan Parlimen, begitu juga di bahagian Seberang Perai.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menjelaskan sedemikian sebagai menjawab soalan ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer di sini.