Exco kerah Briged Wanita penuhi kuota 30 peratus JKKK

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PADANG LALANG – Anggota Briged Wanita Pulau Pinang di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) digesa segera memenuhi 30 kuota wanita dalam semua hierarki Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat masing-masing.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng membuat seruan itu di hadapan kira-kira 60 anggota Briged Wanita Parlimen Bukit Mertajam yang menyertai program TAMPIL 2.0 di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, dalam Bajet 2017 Pulau Pinang memperuntukkan RM30,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan RM10,000 kepada Penyelaras KADUN bagi menjalankan program Briged Wanita di kawasan masing-masing.

“Sebagai ahli Briged Wanita, anda memainkan peranan amat penting dalam pembangunan komuniti wanita di kawasan anda.

“Anda merupakan barisan paling hadapan bagi membantu Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi untuk menyebarkan segala maklumat penting dan berfaedah kepada komuniti,” ujarnya yang juga ADUN Padang Lalang pada penganjuran berkaitan.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Siti Nur Shazreen Mohd. Jilani dan Pengurus Program Pemerkasaan dan Kepimpinan Wanita PWDC, Karen Lai Yu Lee.

Chong Eng dalam pada itu turut mengerah anggota brigednya supaya memberi sokongan terhadap pelaksanaan program Pesta Tampil Komuniti (TAMPIL 2.0), anjuran agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) membabitkan semua lima daerah di negeri ini.

Menurut beliau, TAMPIL 2.0 adalah salah satu medan untuk memperkasa serta mempertingkatkan keupayaan wanita, selain menghapuskan stereotaip gender.

“Justeru, semua ahli Briged Wanita diseru untuk bergerak lebih aktif di dalam JKKK supaya penduduk mengenali anda sebagai pemimpin wanita di kawasan tersebut,” serunya.} else {