Jaminan bekalan air terawat di Pulau Pinang mencukupi, kekal rekod negeri tiada catuan air sejak 2008

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SUNGAI DUA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa bekalan air terawat di Pulau Pinang adalah mencukupi untuk seluruh rakyat negeri ini.

Malah katanya, Pulau Pinang juga akan mengekalkan rekod sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengalami catuan air sejak 2008.

“Kita akan pastikan bekalan air terawat mencukupi untuk seluruh rakyat di negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) berani beri jaminan ini kerana kita mempunyai loji rawatan air terbesar di Malaysia yang mana boleh menampung 1.2 bilion liter air yang telah diproses setiap hari,” katanya ketika merasmikan pembukaan Fasa 1 Pusat Kawalan Bekalan Air Pulau Pinang (PWSCC) di Loji Rawatan Air Sungai Dua di sini 15 Mac lalu.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh merangkap ADUN Sungai Puyu; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Jaseni Maidinsa, serta kakitangan PBAPP.

Menurut Guan Eng, pembinaan PWSCC yang menelan belanja sebanyak RM6.1 juta tersebut bakal dimanfaatkan 604,574 pengguna air bagi tujuan perniagaan serta domestik di negeri ini.

Tambahnya, pembangunan pusat kawalan itu juga adalah langkah penting dalam memastikan bekalan air terawat di Pulau Pinang adalah mencukupi untuk rakyat sekurangkurangnya bagi tempoh 10 tahun akan datang. “PWSCC juga mencerminkan komitmen kuat PBAPP, yang dapat memastikan peningkatan berterusan dalam perkhidmatan bekalan air dan (perkhidmatan) pelanggan di Pulau Pinang, selaras dengan pensijilan ISO 9001: 2015.

“Malah, rakyat di negeri ini juga akan kekal menikmati tarif air domestik terendah iaitu RM0.32 sen bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama berbanding negeri lain seperti Johor (RM1.32).

“Inilah bukti kejayaan tadbir urus yang dilaksanakan secara Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT),” ujar beliau.

Sebagai rekod, Pulau Pinang mempunyai tiga empangan utama untuk menyimpan bekalan air iaitu Empangan Air Itam dengan kapasiti simpanan sebanyak 82 peratus, Empangan Teluk Bahang (91.6 peratus) dan Empangan Mengkuang (24.1 peratus).

Ketika ditanya mengapa jumlah kapasiti air di Empangan Mengkuang jauh lebih rendah berbanding Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, Guan Eng menjelaskan bahawa ia berikutan empangan tersebut kini masih lagi dalam proses pembinaan.

“Apabila empangan ini siap, ia dapat menampung simpanan air sebanyak empat kali ganda berbanding Empangan Teluk Bahang iaitu sebanyak 73 bilion liter air,” jelasnya.

Difahamkan, penubuhan PWSCC dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih seperti sistem perisian pusat kawalan, video 10 skrin, perisian untuk memantau data elektronik dan lain-lain lagi.

Ia membolehkan data dari semua loji rawatan air di Pulau Pinang, rumah pam, kolam air terawat dan sensor tekanan di talian saluran paip utama dihantar ke pusat kawalan berkaitan 24 jam setiap hari.

Selain itu, pembangunan pusat kawalan tersebut juga membolehkan pengurusan air tanpa hasil (NRW) atau kadar kehilangan air ditambah baik selain mengesan ramalan dan sistem amaran automatik kemungkinan masalah bekalan air


Kategori: Bahasa Malaysia, Semasa

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives