Kajian terperinci alternatif tangani banjir kilat kawasan lembangan Sg. Jawi

Gambar : ADUN

JAWI – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu bahawa satu kajian terperinci berhubung tebatan banjir dan rumah pam di sepanjang lembangan Sungai Jawi bakal dilaksanakan bagi mencari alternatif jangka masa panjang terbaik untuk menangani kejadian banjir kilat di kawasan berkaitan.

Katanya, buat masa ini, segala kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) adalah bersifat sementara untuk mengatasi bencana berkaitan dalam jangka masa sederhana.

“Saya berharap isu banjir kilat di kawasan ini dapat diselesaikan memandangkan ianya sudah lapuk sejak dahulu lagi.

“Susulan itu, kami telah menerima cadangan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri cawangan Seberang Perai Selatan (SPS) untuk menambah satu lagi pam di rumah pam berhampiran perkampungan Jawi selain meninggikan tebing di belakang Kampung Sethu yang kini memiliki ketinggian 1.0 meter kepada 5.5 meter.

“Malah, JPS juga bercadang memanjangkan ban dengan menjadikan 300 meter panjang berbanding sedia ada, 100 meter. Serentak itu, adalah berhubung pelaksanaan kerjakerja mendalamkan Sungai Jawi sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika mengadakan lawatan ke perkampungan Jawi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; Jurutera JPS SPS, Zahid Zainal Abidin; Jurutera JKR cawangan SPS, Syed Zubir Syed Husin dan beberapa pegawai MPSP serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jawi.

Lawatan tersebut adalah ekoran maklum balas para penduduk yang terpaksa hadapi kejadian banjir kilat apabila hujan lebat melanda kawasan berkaitan. Situasi berkenaan dipercayai berpunca daripada kegagalan rumah pam yang tidak mampu berfungsi dengan baik dan menampung jumlah air yang banyak.

Dalam pada itu, Zahid memberitahu bahawa pada malam 14 Disember 2015, hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan peningkatan aliran air dari kawasan tinggi mengalir ke Sungai Jawi sehingga mengakibatkan beberapa kampung seperti Kampung Sethu dan Kampung Jawi dilanda banjir kilat.

“Sekiranya kita (JPS) menambah satu lagi pam (di rumah pam) di sini, ia akan membantu mengelak berlakunya kejadian ini (banjir kilat),” jelas beliau