Kak Izz, usahawan tidak pernah kenal istilah ‘penat’

KAK Izz sambil diapit oleh Abdul Latiff Abdul Rahim (kiri) dan anaknya menunjukkan produk-produk yang dihasilkan.
KAK Izz sambil diapit oleh Abdul Latiff Abdul Rahim (kiri) dan anaknya menunjukkan produk-produk yang dihasilkan.

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

DI sebalik kejayaan perusahaan perencah keluaran 09 Izz Fitri, lazimnya tersirat sebuah sejarah yang panjang dan begitu menyayat hati.

 

Melihat gambar individu berkopiah tersenyum manis berkapsyenkan ‘pengasas’ pada setiap banting promosi produk, tiada siapa yang menyangka bahawa beliau telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

 

Pemergiannya begitu diratapi isteri, Marziah Mahat, 50, yang pada ketika itu telah berputus asa untuk meneruskan perusahaan yang diusahakan bersama arwah.

 

“Selepas arwah meninggal, hidup jadi tunggang langgang. Dan memang akak tiada semangat untuk ‘buat’ (produk) lagi.

 

“Banyak kenangan apabila melihat produk-produk ini. Arwah bagaikan malaikat bagi akak. Akak kenal dia (arwah) masa (akak) bawa lori jadi pembekal produk jeli Rinda.

 

“Masa tu, akak tanggung 11 orang anak. Iaitu lima anak sendiri hasil perkahwinan pertama dan enam lagi adalah anak-anak angkat yang akak ‘jumpa’ masa bawa lori.

 

“Akak cakap dengannya, anak saya ramai, kalau nak saya, kena terima anak-anak saya juga. Terima saya seadanya, dan dia (arwah) sanggup,” katanya yang lebih dikenali sebagai Kak Izz memulakan sesi temubual bersama-sama Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Berasaskan resipi turun-temurun ibunya, Kak Izz menghasilkan tiga produk perencah iaitu perencah sup gear box, tepung goreng ayam berempah dan perencah ayam percik chicken chop sebagai permulaan perusahaan yang diusahakan pada 1 Januari 2011 di Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU).

PRODUK-produk yang dihasilkan.
PRODUK-produk yang dihasilkan.

“Arwah suka makan sup gear box, maka, dari resepi asal, saya olah dan hasilkan pes.

 

“Istimewanya, pes ini (gear box) juga boleh digunakan untuk masakan-masakan lain seperti nasi minyak, sup campur, bakso dan lain-lain,” jelas beliau yang dilahirkan di Melaka.

 

Semangat Kak Izz yang tidak pernah mengenal penat lelah amat dikagumi penulis.

 

Disebabkan penyakit kuning yang dihidapinya, beliau hanya berupaya melanjutkan pelajaran hingga ke tingkatan tiga. Justeru, beliau sering melabelkan dirinya sebagai usahawan yang tidak pandai menulis dan membaca, tetapi pandai cari duit.

 

Bagaimanapun, berkat restu, sokongan dan dorongan daripada arwah suaminya, Kak Izz membuat permohonan untuk belajar dan mengikuti kursus-kursus keusahawanan yang dianjurkan dari semasa-semasa oleh agensi-agensi kerajaan.

 

“Saya mengikuti kursus selama enam bulan di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk belajar membaca dan menulis peringkat asas, ini termasuk A, B, C… dari mula.

 

“Profesor ajar dari jam 7 pagi hingga 11 malam. Akak masih ingat, bilik akak penuh dengan kertas sampai tidak nampak lantai sebab banyak sangat guna kertas praktis menulis.

 

“Malah, cleaner pun pernah beritahu yang akak kena ada tong sampah sendiri,” jawabnya sambil ketawa dan memaklumkan bahawa beliau kini sudah memahiri semuanya termasuk laman-laman sosial, facebook.

 

Prinsip Kak Izz adalah, di situ ada kemahuan, di situlah ada jalannya. Malah, beliau menambah bahawa jangan ada istilah ‘penat’ untuk sampai ke menara gading.
Walaupun terpaksa cagarkan aset-aset dimilikinya pada peringkat permulaan, faktor-faktor tersebut tidak pernah mematahkan semangat Kak Izz untuk terus mencari jalan penyelesaian bagi memperkembangkan perusahaannya.

PERENCAH-perencah sedang dimasak di dalam kawah.
PERENCAH-perencah sedang dimasak di dalam kawah.

Kini, produk beliau, selain pasaran tempatan, ia telah memasuki pasaran Thailand, Dubai dan juga negara-negara lain.

 

Bagi perancangan masa depan, Kak Izz yang merupakan anak ke-enam daripada sembilan adik-beradik menyatakan bahawa beliau ingin jadi macam Kentucky Fried Chicken (KFC).

 

“Manusia yang akak paling anti ialah KFC! Nama dan kedainya ada di seluruh Malaysia. Akak nak jadi macam dia,” tegas beliau.

 

Sebelum mengakhiri sesi yang diadakan di kilang pemprosesan produknya, Kak Izz menyatakan bahawa bidang perniagaan memang tidak boleh lari daripada fitnah.

 

“Namun, akak pegang prinsip ‘teh kopi’. Jangan dengar fitnah orang, janji kita ada duit, buat kerja jujur,” tegas beliau yang dikurniakan 20 cahaya mata secara keseluruhan kini.

 

Bidang perniagaan ada naik turunnya. Walaupun terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki, Kak Izz tidak pernah menganggap tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak sebagai suatu beban.

 

Sebaliknya, beliau seronok memiliki sebuah keluarga yang besar dan ramai anak.

 

 

 

Selain produk pes, Kak Izz yang juga pakar dalam pembuatan produk-produk jamu kini bertemu jodoh dengan Abdul Latiff Abdul Rahim, 45, yang berasal dari Baling Kedah.

 

Melihat dua anaknya yang berminat untuk meneruskan perusahaannya, Kak Izz berasa amat bersyukur dan mampu tersenyum lebar.

 

 

INFO :

09 IZZ FITRI

Plot 16/TO (RU:1451) Jalan Pokok Machang,

Pokok Jenerih,

13300 Tasek Gelugor.

019 – 577 7509 / 018 – 941 2339

 

 } else {