Karnival permotoran mampu gamit pelancong ke P. Pinang

Admin

BUKIT TAMBUN – Lebih 40 gerai pameran dibuka semasa berlangsungnya Karnival Usahawan Permotoran Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan parkir Stadium Batu Kawan di sini barubaru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hanson berkata, karnival seumpama itu diharap menggamit lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang selain mengembangkan potensi prospek perniagaan berkaitan permotoran berkuasa tinggi di negeri ini.

“Di tahun 2016 juga, kita mampu lihat pelbagai revolusi yang terjadi kepada teknologi permotoran di negara ini, misalnya pada aspek kecanggihan, aksesori, kreativiti dan sebagainya yang mampu ditonjolkan pada karnival ini.

“Ianya mampu menjana pendapatan jika terlibat dengan lebih serius,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat semasa menyempurnakan majlis perasmian penutup karnival tersebut.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Maktar Shapee dan Amir Mohd. Ghazali (Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I).

Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak memberitahu, karnival yang berlangsung pada 1 hingga 3 April lalu itu menerima kunjungan lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Aksi drift, pameran kenderaan klasik serta gerai jualan aksesori dan audio antara acara menarik di karnival tersebut.