Keganasan risiko trauma seumur hidup – Exco

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa terdapat satu daripada tiga wanita akan dipukul, dirogol mahupun didera oleh pasangan intim semasa hayat mereka.
Kenyataan tersebut ditekankan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng pada Majlis Penutupan Penang Goes Orange 2014 baru-baru ini di sini.

Menurutnya, statistik dalam tempoh 10 tahun (2000 hingga 2010) melaporkan bahawa sebanyak 35, 864 kes keganasan rumah tangga, rogol (25,363) dan pencabulan kehormatan (19,465) dilaporkan di Malaysia.

Justeru, beliau berharap penganjuran kempen Penang Goes Orange 2014 yang julung kali dianjurkan Kerajaan Negeri mampu meningkatkan kesedaran berhubung Keganasan Terhadap Wanita (VOW).

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi hak asasi manusia dan menghentikan keganasan iaitu toleransi sifar terhadap semua bentuk VOW.

“Malangnya, VOW adalah salah satu bentuk keganasan umum yang berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi di dunia. Ia bukan sahaja keganasan rumah tangga dan seksual, tetapi termasuk keganasan emosi dan psikologi.

“Setiap tindakan ganas ini bakal menyebabkan seseorang individu mengalami risiko trauma seumur hidup sekiranya mereka (mangsa) tidak terbunuh,” ucap Chong Eng.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan, Ketua Menteri. Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah A. Bakar, Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Sharif dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin.

Kempen Penang Goes Orange 2014 yang berlangsung selama 16 hari bermula 25 November 2014 adalah bersempena Hari Hak Asasi Manusia.

Pengisian penganjuran adalah seperti forum, dialog dan bengkel yang diadakan di seluruh Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucaptamanya memberitahu, hak wanita adalah hak asasi manusia, wanita berhak untuk hidup, bebas dari perhambaan dan penyeksaan, dilindungi undang-undang serta bergerak bebas.

“Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) mengingatkan kita bahawa  semua manusia adalah sejagat.

“Lelaki, wanita, kanak-kanak mempunyai semua jenis hak dan kebebasan umum pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

“Di Malaysia, kita bukan sahaja perlu berusaha mengurangkan keganasan dan seks jenayah, tetapi menggalakkan kesaksamaan gender dan perubahan pemikiran radikal dalam masyarakat,” tegas beliau.

}