Kerajaan Negeri sokong pembangunan sukan – Rashid

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri terus komited dalam membangunkan infrastruktur sukan yang dilihat sebagai salah satu wadah perpaduan dalam komuniti kemasyarakatan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian ketika hadir merasmikan gelanggang futsal di Persiaran Pantai Jerejak 10, yang bernilai RM143,000 baru-baru ini.

Ujarnya, sukan bukan hanya aktiviti fizikal yang menyihatkan tubuh badan, malah mampu menjadi wadah dalam memupuk perpaduan antara kaum khususnya komuniti di Pantai Jerejak.

“Dengan adanya infrastruktur sukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini, komuniti tempatan boleh menggunakannya sama ada melalui penganjuran pertandingan sukan komuniti atau apa jua aktiviti melibatkan penglibatan orang ramai,

“Bukan sahaja tubuh badan sihat, bahkan dapat mengenali dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri tidak meminggirkan pembangunan sukan di negeri ini,” ujarnya.

Mohd. Rashid yang hadir merasmikan Gelanggang Futsal Sungai Nibong Pantai baru-baru ini turut membuat sepakan penalti sebagai gimik perasmian.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; barisan Ahli Majlis MBPP serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Nibong Pantai.

Dalam pada itu, Patahiyah ketika ditemui memberitahu, gelanggang yang disediakan tersebut adalah mengikut saiz standard yang ditetapkan oleh Badan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), MBPP perlu menjalankan tanggungjawab menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang selesa kepada masyarakat sebagai memupuk semangat warga Pulau Pinang, khususnya golongan belia untuk menjalani gaya hidup sihat.

“Justeru, saya harap, gelanggang ini dapat dijaga dengan baik serta elakkan sebarang perbuatan vandalisme yang memberi kesan negatif kepada semua,” seru beliau.

Bagi yang berminat untuk menyewa gelanggang tersebut boleh berhubung terus dengan pihak MBPP di talian 04 – 226 2959 atau layari laman sesawang berikut www.mpbb.gov.my}