Lampu isyarat di ‘jejantas sotong’ untuk kemudahan pejalan kaki

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini memasang dua unit lampu isyarat sebagai sebahagian projek menaiktaraf jejantas pejalan kaki atau lebih dikenali sebagai ‘jejantas sotong’ bernilai RM6.1 juta di
persimpangan Jalan Penang, Jalan Burma dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, lintasanlintasan belang (zebra crossing) sementara juga
dilakarkan berdekatan lampu isyarat baharu bagi membolehkan pejalan kaki melintas pada jarak selamat.

“Apabila kerja-kerja penaiktarafan dijalankan, hanya sebahagian jejantas akan ditutup, manakala sebahagian lagi masih boleh
diakses oleh pejalan kaki,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ‘jejantas sotong’ berhampiran Komtar di sini baru-baru ini.

Turut sama, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran.

Menurut Lai Heng, projek penaiktarafan tersebut termasuk membaik pulih fizikal jejantas tersebut, pemasangan lif bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU) dan juga pemasangan tangga bergerak (escalator).

“Saya berharap orang ramai terutamanya pejalan kaki dapat mematuhi arahan papan tanda yang diletakkan sekitar kawasan projek ini demi keselamatan dan keselesaan semua pihak.

“Mungkin akan timbul ketidakselesaan, tetapi ianya bersifat sementara, apabila siap kelak pada tahun hadapan, ia mampu mengurai kesesakan yang berlaku kini,” ujar beliau.

Ensignia Construction Sdn. Bhd. (anak syarikat milikan penuh IGB Corporation Berhad) diberi tanggungjawab melaksanakan
kerja-kerja penaiktarafan jejantas ikonik yang berusia 22 tahun itu.