Pantau, penarafan bintang surau mulai Ramadan

Admin

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pemantauan serta penarafan bintang akan dilakukan ke atas semua surau awam berwajib dalam tempoh empat bulan mulai Ramadan ini.

Menurut beliau, langkah itu demi memelihara imej Pulau Pinang supaya terus dilihat sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan di serantau.

“Langkah ini adalah selepas beberapa aduan daripada orang awam dan pelancong asing bahawa ada surau hotel dan di kawasan pelancongan dalam keadaan daif, kotor, sempit dan tidak selesa untuk menunaikan ibadah,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Pegawai Tadbir Agama (PTA) bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Muhammad Jamaluddin, Ayob Yaacob (PTA Daerah Barat Daya) dan Ismail Omar (Pegawai Bahagian Pengurusan Masjid bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) turut menyertai sidang media tersebut.

Selain penarafan bintang, Abdul Malik berkata, ganjaran turut disediakan kepada surau yang berjaya diselenggara mengikut garis panduan pelancongan Islam negeri.

Difahamkan, empat kategori dipertandingkan, iaitu hotel, restoran, pusat membeli-belah serta premis awam seperti surau stesen minyak.

Pun begitu, penarafan dan ganjaran tersebut tidak meliputi 465 surau dalam kampung serta dekat kawasan perumahan didaftar di bawah JHEAIPP serta baki 131 surau yang berdaftar di bawah masjid kariah.

Selain itu, Abdul Malik mengesyorkan supaya semua premis komersial yang menawarkan khidmat buffet Ramadan turut menyediakan tempat solat selesa.

“Mesti sedia tempat solat yang selesa kepada pelanggan, ini syor kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Malah, tegas beliau, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan berperundangan terhadap premis komersial yang menyediakan khidmat buffet Ramadan tanpa memiliki sijil halal, sebagaimana dikuatkuasakan sejak tahun 2010.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing telahpun meluluskan pembukaan 38 tapak dan 20 tapak Bazaar Ramadan.