Parkir motosikal lebih lama di Terminal Sg. Nibong

GEORGE TOWN – Mesyuarat Biasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang berlangsung di sini baru-baru ini meluluskan cadangan bagi mewujudkan parkir motosikal berbayar di Terminal Bas Sungai Nibong.

Inisiatif tersebut adalah bagi membolehkan orang ramai meletakkan motosikal untuk jangka masa panjang di lokasi berkenaan.

Keputusan tersebut dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan MPPP, Joseph Ng Soon Siang untuk makluman dan pengesahan Majlis.

Beliau berkata, Pengurus Sistem Letak Kereta Terminal Bas Sungai Nibong akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurusan tempat parkir motorsikal berbayar tersebut.

“Caj sebanyak RM2 akan dikenakan untuk sebuah motorsikal diparkir bersama dengan ruangan penyimpanan topi keledar yang turut disediakan.

“Petak motosikal percuma di luar kawasan tempat letak kereta sedia ada masih dikekalkan,” ujarnya pada pembetangan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan Bilangan 07 Tahun 2014 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, pada mesyuarat sama, Soon Siang turut memohon agar Majlis membatalkan kelulusan pemberian petak khas kepada syarikat yang mempamerkan motosikal dengan tanda untuk dijual di dalam petak berkaitan.

“Majlis perlu memberi amaran bertulis kepada syarikat yang bertindak meletak halangan, kenderaan atau mempamerkan motosikal dengan tanda untuk dijual di dalam petak khas disediakan berhadapan premis kedai masing-masing.

“Jawatankuasa meminta halangan ini dipantau setelah surat amaran dikeluarkan,” tegas beliau.