Pasar Tanjung Bungah siap, Chowrasta pertengahan 2015

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGAH – Kerajaan Negeri akan terus komited meningkatkan infrastruktur asas kepada peniaga-peniaga kecil dalam menggalakkan pembangunan ekonomi setempat secara berterusan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Naiktaraf Pasar dan Kompleks Makanan Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

Turut sama, Yang diPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Patahiyah Ismail, Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan Ahli-ahli Majlis MPPP.

Dalam ucapannya, Guan Eng menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur kepada peniaga-peniaga kecil di negeri ini adalah sebahagian daripada inspirasi Kerajaan Negeri dalam membantu serta memenuhi kehendak dan permintaan masyarakat setempat.

“Misalnya di Tanjung Bungah yang merupakan kawasan tarikan pelancong berpotensi meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil yang beroperasi di sini sekaligus memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati limpahan pembangunan ekonomi Pulau Pinang,” ucapnya.

Guan Eng dalam itu berharap, dengan adanya penyediaan infrastruktur, peniaga-peniaga kecil terutamanya yang menyediakan makanan serta minuman yang dapat meningkatkan imej Kerajaan Negeri dengan menyediakan sajian tempatan berkualiti dan sedap.

Nada sama turut disuarakan Patahiyah yang berharap peniagapeniaga kecil berkaitan dapat menjaga dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan-kemudahan disediakan.

Projek menaiktaraf Pasar dan Kompleks Makanan Tanjung Bungah menelan kos RM1.8 juta melibatkan pengecatan semula, penukaran bumbung dan pengadang aluminium kekal, pendawaian semula, penyusunan semula dan pembinaan ramp bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, projek menaiktaraf fasa pertama Pasar Chowrasta di George Town dijangka lewat hampir tiga bulan dari tarikh dijadualkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pasar yang dinaiktaraf pada April lalu sepatutnya dibuka kepada orang ramai Ogos lepas.

“Kerajaan Negeri difahamkan oleh kontraktor yang terlibat bahawa kelewatan berpunca dari kerja-kerja pengalihan kabel bawah tanah di sekitar tapak projek serta masalah-masalah teknikal lain.

“Fasa kedua hanya akan dimulakan selepas sebahagian peniaga dari tapak pasar lama dipindah masuk ke bangunan baharu November ini dan kita (Kerajaan Negeri) menjangkakan ianya dapat disiapkan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan,” katanya sejurus selepas mengadakan tinjauan ke tapak projek berkenaan yang bakal menyediakan 235 petak gerai dan 123 petak letak kereta.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri turut bakal mempertimbangkan penalti sekitar RM7,500 sehari kepada kontraktor berkenaan sekiranya bangunan tersebut tidak dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan