Pengasingan sisa di punca, Pulau Pinang jimat RM2.38 juta

Admin

AIR PUTIH – Semenjak Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bermula 1 Jun 2016, pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini berjaya mencapai penjimatan RM2.38 juta dalam pengurusan sisa pepejal.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dekat Rumah Pangsa Taman Boundary di sini baru-baru ini.

“Mengikut pecahan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM1.59 juta, manakala Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP (RM792,999), menjadikan keseluruhan RM2.38 juta.

“Oleh itu, saya ingin menyeru agar kita semua dapat melibatkan diri dalam program Dasar Pengasingan Sisa Di Punca demi alam sekitar dan masa depan anak-anak kita mulai hari ini.

“Malah, jika badan pengurusan sudah memulakan program dengan menyediakan tong-tong untuk pengasingan sisa sampah, terima kasih diucapkan,” ujarnya yang juga ADUN bagi kawasan Air Putih. Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Syerleena Abdul Rashid dan Chris Lee Chun Kit.

Maklum Guan Eng, setakat ini, Pulau Pinang berjaya mencapai 33 peratus kadar kitar semula berbanding piawaian antarabangsa 40 peratus.

“Dalam kira-kira sembilan bulan dasar ini dijalankan, kita jimat RM2.38 juta, saya yakin kalau kita tingkatkan usaha pengasingan sisa di punca ini, tidak mustahil kita boleh capai penjimatan sebanyak RM5 juta,” serunya.

Tambah Guan Eng, selain memberikan penjimatan, pengasingan sisa di punca juga mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjaga ekosistem, mengurangkan penjanaan sisa yang semakin meningkat ke tapak pelupusan sampah dan memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah Pulau Burong.