Pengasingan sisa di punca, salah satu KPI JKKK

JAWI – Kejayaan melaksanakan amalan pengasingan sisa di punca akan menjadi salah satu aras penanda utama (KPI) dalam pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Pertama Dasar ‘Segregation at Source’ di Kampung Changkat di sini baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling bersih di Malaysia.

“Kita mulakan pendekatan pendidikan, sebelum penguatkuasaan dasar pengasingan sisa di punca, mulai 1 Jun depan.

“Salah satu daripada KPI bagi JKKK mesti berjaya melakukan pengasingan sisa di punca, untuk dilantik semula masa akan datang,” ujarnya pada majlis berkaitan di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Jawi, Azmi Samsudin turut sertai majlis itu.

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu, terdapat lapan kategori punca kutipan sisa telahpun dikenal pasti, iaitu rumah kampung, rumah taman, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPR) bertingkat, kondominium, kilang, outlet makanan/hotel, pusat membeli-belah dan kompleks kerajaan.

“Setiap satu punca kutipan sisa ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, maka mekanisme kutipan diatur khas untuk setiap satu,” jelas beliau. Majlis itu turut diserikan dengan persembahan koir oleh pelajarpelajar Tadika Changkat. Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut merasmikan pembukaan operasi Pusat Sumber Alam Sekitar di sini.

} else {