Persiaran Gurney ke-13 jalan paling menarik untuk dilawati di dunia sebelum mati, lapor traveller.com.au

Admin

GEORGE TOWN – Persiaran Gurney di negeri ini disenaraikan di kedudukan ke-13 daripada keseluruhan 25 lokasi sebagai jalan paling menarik yang mesti dilawati di dunia sebelum mati, lapor portal berita atas talian antarabangsa, traveller.com.au (Traveller).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengiktirafan terbaru itu akan menggandakan usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan potensi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan sedunia.

“Ini sekali lagi pencapaian selepas dipilih oleh CNN (mengenai) daripada 17 tempat paling baik untuk dilawati di dunia, George Town atau Pulau Pinang muncul nombor dua.

“Ini suatu lagi pencapaian untuk negeri Pulau Pinang, tentu Kerajaan Negeri akan berusaha memaju dan membangunkan sektor pelancongan di Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang serta Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng. Traveller pada 20 Mac lalu antara lain melaporkan, “Sorry Thailand, it’s not you: Southeast Asia’s new hotspot for cuisine“, serta menjelaskan bahawa Pulau Pinang menawarkan sajian makanan di jalanan yang enak di rantau ini.

Mengulas pautan laporan di portal pelancongan tersebut, Guan Eng berkata, “tentu ini Pulau Pinang lah.”

Pautan penuh, www.traveller.com.au/worlds-most-amazing-streets-to-visit-before-youdie-gun147.