PGC perkenal Hari Isnin Tanpa Daging

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Sebagai langkah bagi memupuk kesedaran sama ada pada aspek kesihatan mahupun alam sekitar, terbaru, Penang Green Council Strategies Sdn. Bhd. (PGC) bakal memperkenalkan Hari Isnin Tanpa Daging di negeri ini.

Inisiatif tersebut bakal diperkenalkan kepada umum pada penganjuran Karnival Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014, 13 dan 14 September ini di Padang Kota Lama di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi PGC berkata, tumpuan utama penganjuran karnival tersebut adalah pengenalan amalan diet karbon rendah, Hari Isnin Tanpa Daging.

“Pada 14 September ini, di tapak Karnival Hijau Antarabangsa (Pulau Pinang), pelbagai makanan tanpa daging akan dihidang serta dijual pada harga RM1 kepada 5,000 pengunjung pertama yang masing-masing membawa bekas makanan sendiri.

“Ini merupakan salah satu inisiatif bagi memupuk kesedaran pada aspek kesihatan dan juga alam sekitar,” katanya pada Majlis Pra
Peluncuran Karnival Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye dan wakil-wakil penaja serta jawatankuasa penganjur.

Penganjuran karnival yang diadakan sejak tahun 2012 tersebut adalah hasil kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Save Earth Association (SEA).

Malah, ia turut mendapat kerjasama daripada Taman Tema Escape, MPPP, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Green Building Index (GBI), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Penang Institute, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia dan Sekolah Menengah Han Chiang.

Bertemakan, ‘Atasi Perubahan Iklim, Bertindak Menentang Perubahan Iklim Sekarang!’, karnival berkenaan turut memberi penekanan terhadap kepentingan pengurangan kesan tapak kaki karbon melalui pengurangan sisa, pemuliharaan air dan tenaga.

Guan Eng dalam pada itu berharap dapat mewujudkan momentum dalam membentuk serta mempromosikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau melalui penganjuran karnival terbabit “Malah, karnival ini berperanan sebagai landasan yang bukan sahaja memberi inspirasi hijau, tetapi juga sebagai tempat berkongsi idea-idea hijau serta strategi penghijauan,” ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.pgigc.com.my atau Facebook Penang International Green Carnival atau hubungi talian 04 – 250 3321.