Projek perumahan, pemaju perlu sedia kemudahan komuniti selaras polisi

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri mahu semua pemaju perumahan menyediakan kemudahan untuk komuniti, termasuk pasar awam, dewan komuniti, surau atau masjid dan kawasan hijau di lokasi yang bakal dibangunkan perumahan baharu mengikut piawaian perancangan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, di bahagian pulau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyediakan garis panduan bagi penyediaan kemudahan komuniti di kawasan pemajuan perumahan baru.

“Garis panduan tersebut antara lain menggariskan beberapa panduan pelaksanaan, piawaian perancangan dan kaedah pengiraan dalam satu-satu pemajuan projek perumahan.

“Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada skala, jenis dan kepadatan penghuni,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kompleks Pasar, Makanan dan Pusat Komuniti Pagar Buloh dekat Lilitan Sungai Ara di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Property Group (IDEAL), Datuk Alex Ooi, selaku pemaju projek berkaitan.

Menurut Kon Yeow, pihak pemaju perlu mematuhi dan menepati segala perancangan yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri dalam memberi keselesaan kepada rakyat khususnya kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan tinggi.

“Sekiranya kawasan pemajuan perumahan baharu sudah mempunyai kemudahan-kemudahan seperti masjid atau surau, kompleks makanan dan pasar, maka pemaju perlu menyalurkan dana yang diperuntukkan untuk membina kemudahan komuniti kepada tabung khas pihak berkuasa tempatan.

“Di bahagian pulau, MBPP bertanggungjawab memantau tabung khas tersebut dan segala dana yang diterima akan digunakan untuk menaiktaraf atau menyelenggara kemudah-kemudahan lain di kawasan tersebut,” jelasnya.

Kompleks Pasar, Makanan dan Pusat Komuniti Pagar Buloh dijangka beroperasi awal Oktober ini. Mempunyai 25 unit gerai makanan, 12 unit gerai barangan kering, 32 unit gerai barangan basah, dewan komuniti dan tiga gelanggang badminton, kompleks yang menelan kos RM8 juta itu turut mempunyai ciri-ciri hijau dan mesra orang kurang upaya (OKU).