Pusat mesti punyai semangat Malaysia – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyelar pihak tertentu yang bertindak memperkecil dan mengkritik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) demi mendapatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK) sebagai lapangan terbang ke-tiga di negeri Kedah.

“Kerajaan Negeri tidak mahu komen lagi tentang pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, kerana perkara tersebut adalah antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat dan tiap-tiap rakyat berhak menuntut pembangunan, tetapi jangan lah pula pihak berkenaan mendiskriminasi dan bagi alasan yang pelbagai terhadap LTAPP.

“Jika pembinaan LTAK dilaksanakan, Pulau Pinang turut menuntut Kerajaan Pusat supaya dapat menaiktaraf LTAPP dengan kapasiti kargo dan penumpang serta mewujudkan integrasi udara di sini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, dalam soal pembangunan, Kerajaan Pusat mestilah mempunyai semangat Malaysia dengan tidak meminggirkan mana-mana negeri lain.

“Saya tidak mahu LTAPP menjadi seperti lapangan terbang di Melaka, sehinggakan lapangan terbang tersebut terpaksa menunggu kapal terbang sebab tiada yang hendak turun di situ.

“Kalau hendak buat permohonan lapangan terbang juga, biarlah permintaan itu sepadan dengan kapasiti sendiri dalam menguruskan dan penggunaan, namun bukan mencaci LTAPP,” tegas Guan Eng.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kekeruhan air paip pada 2 Ogos lalu, Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. Jaseni Maidinsa menyatakan bahawa ia berpunca daripada partikel terampai dalam Sungai Muda yang merupakan sumber air negeri ini.

Menurutnya, kenaikkan partikel tersebut mencapai 3.5 kali daripada bacaan biasa.

“Kekeruhan normal air mentah dari Sungai Muda adalah kira-kira 90 NTU (Unit Kekeruhan Nephelometric).

“Di Loji Rawatan Air (LPA) Sungai Dua, PBAPP menjalankan rawatan konvensional air dirawat dengan penarafan 5 NTU dalam mematuhi piawaian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” jelasnya baru-baru ini.

Jaseni memberitahu, kira-kira jam 9.30 malam, 2 Ogos lalu, kekeruhan air mentah Sungai Muda mencapai 161 NTU dan sehingga 10 pagi keesokannya (3 Ogos), ia mencecah 341 NTU atau lebih 3.5 kali ganda.

“Kakitangan LPA dan sistem rawatan tidak dapat menampung air mentah dan menyebabkan sistem penapisan telah tersekat.

“Akhirnya, air dirawat yang dipamkan dari LPA kepada pengguna menjadi keruh dalam tempoh 12 jam dari jam 12 tengah malam Sabtu (2 Ogos) hingga 12 tengah hari Ahad (3 Ogos).

“Dengan segera, kakitangan pengeluaran PBAPP diarahkan untuk membetulkan keadaan dan mencuci penapis yang tersekat di loji rawatan,” jelas beliau.

Tambahnya, sehingga jam 7 malam 3 Ogos (lalu), keadaan telah kembali kepada sedia kala dan PBAPP akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan sama ada berlaku kesilapan teknikal pada sudut protokol atau ketidakcekapan mahupun kecuaian berhubung kejadian terbabit.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya kesilapan seperti ini dikesan,’’ tegas Jaseni.