Sedia rumah mampu milik untuk rakyat keutamaan KN – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyediakan rumah mampu milik kepada warga Pulau Pinang termasuk bekerjasama dengan pihak pemaju swasta bagi memenuhi permintaan semasa.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya kini bergerak aktif dan agresif dalam menyediakan rumah mampu milik termasuk melancarkan kempen pemilikan rumah melalui Program Mission Home Possible sejak tahun lalu.

“Tahun lalu, melalui Program Mission Home Possible, kita telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri menawarkan sejumlah 22, 545 unit rumah pelbagai kos meliputi 12 projek di lima daerah di Pulau Pinang.

“Tahun ini, sekali lagi kita akan mengadakan program sama di lima kawasan Parlimen bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri unit yang ditawarkan dan membuat permohonan terus pada hari berkenaan,” katanya pada sidang media sejurus selepas Sesi Pengundian dan Majlis Tandatangan Perjanjian Jual Beli Projek Perumahan Mampu Milik Ramah Pavillion di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik dan Pengarah Urusan M Summit Group yang merupakan pemaju projek, Datuk Albert Moh.

Tambah Jagdeep, penyediaan rumah mampu milik kini bukan sahaja menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, tetapi juga menjadi pilihan kebanyakan pemaju perumahan.

Oleh demikian, beliau memberitahu, dalam memastikan jaminan kualiti tinggi, Kerajaan Negeri telah menetapkan garis panduan perumahan baru wajib dipatuhi pemaju swasta yang ingin melaksanakan projek rumah mampu milik di Pulau Pinang, antaranya melalui penetapan keluasan dan harga tawaran.

“Contoh pemaju swasta yang telah melaksanakan pematuhan garis panduan ini termasuklah Aspen Group melalui projek Tri-Pinnacle, projek One Foresta oleh Ideal Property Group, projek Chelliah Park City oleh Zubicon Sdn. Bhd. dan M Summit Group melalui projek Ramah Pavillion.

“Semua permohonan akan dihantar ke Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan tapisan dalam memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak dapat memiliki rumah idaman mereka,” jelasnya.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan projek perumahan mampu milik terkini atau ingin membuat permohonan, boleh hadir ke manamana Program Mission Home Possible seperti berikut:

Parlimen Bukit Bendera: Tarikh / Hari: 21 Mac 2015 / Sabtu Tempat: Plaza Gurney, Persiaran Gurney.

Parlimen Bukit Gelugor:Tarikh / Hari: 11 April 2015 /Sabtu Tempat: Pasaraya Tesco, Lebuh Tengku Kudin off Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Parlimen Batu Kawan dan Parlimen Nibong Tebal: Tarikh / Hari: 11 April 2015 / Sabtu Tempat: Galeri Jualan PDC, Bandar Cassia.

Parlimen Balik Pulau: Tarikh / Hari: 18 April 2015 / Sabtu Tempat: Pasar Balik Pulau

Parlimen Tasek Gelugor dan Parlimen Kepala Batas: Tarikh / Hari: 18 April 2015 / Sabtu Tempat: Pasaraya Mydin Wholesale Hypermarket Bertam, Bandar Putra Bertam.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut menegaskan bahawa pendaftaran bagi projek-projek perumahan di Pulau Pinang adalah percuma sama ada melalui Sistem Pendaftaran Rumah Secara Atas Talian di https://erumah.penang.gov. my mahupun secara manual iaitu melalui Borang Permohonan (PN1).

“Ya, dahulu kita kenakan caj sebanyak RM1 bagi setiap borang, sekarang permohonan adalah percuma. Walau bagaimanapun, permohonan adalah tertakluk kepada kelayakan pemohon,” ujar Jagdeep.